
Oleh Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menolak dakwaan Aktivis, Badrul Hisham Shahrin yang mengatakan Kerajaan Negeri Selangor berbohong mengenai tender penerokaan tanah di Chubadak dan Mahkota Cheras, Kuala Lumpur.
Jelasnya, pihaknya tidak terlibat dengan urusan tersebut yang membabitkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di dua lokasi itu.
“Jabatan Perhutanan mempunyai prosedurnya berhubung pemberian tender dan saya tidak campur tangan dalam perkara itu,” katanya dalam sedia media hari ini.
Azmin menegaskan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran terhadap sebarang aktiviti pembalakan.
Tambahnya, tindakan sebegini hanya boleh dilaksanakan jika ia memberi kepentingan kepada orang ramai namun perlu mendapat khidmat nasihat daripada pihak yang bertanggungjawab.
“Satu-satunya pengecualian ialah jika ia membabitkan kepentingan awam, seperti pembinaan talian elektrik oleh TNB.
“Pun begitu, Jabatan Perhutanan negeri akan menasihati TNB mempertimbangkan semua pilihan di jajaran talian elektrik itu.
“Pampasan tinggi juga dikenakan kepada kontraktor dan pemaju untuk menebang hutan, bagi memberi laluan kepada pembinaan, dalam usaha tidak menggalakkan pembersihan hutan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menggesa Jabatan Perhutanan untuk sentiasa memantau semua kegiatan pembersihan hutan dan mengenakan sekatan ketat untuk melindungi alam semula jadi.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan beberapa langkah penting bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutan simpan di Selangor dikekalkan.
“Kami sebenarnya melebihi sasaran itu dengan 32 peratus,” katanya.
Sebelum ini, Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard mendakwa memiliki sepucuk surat berstatus rahsia yang mengandungi bukti rundingan diberikan secara terus, bukannya melalui tender terbuka.
Namun beliau enggan mendedahkan surat itu kepada umum kerana ia merupakan rahsia rasmi kerajaan.
Sebaliknya, beliau mencabar Mohamed Azmin memberi penjelasan dan memohon maaf kepada orang ramai kerana berbohong.