
Oleh Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Malaysiaaktif) — Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kegiatan keganasan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan negara telah menggubal undang-undang tertentu untuk memastikan keselamatan negara terjamin, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA, Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Majlis Keselamatan Negara.
“Cara terbaik untuk menjamin kebebasan awam adalah dengan mengekang sebarang tindakan keganasan, bagi memastikan keselamatan negara terjamin,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016 (IDC 2016), hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dengan aktiviti kumpulan IS.
Jelasnya, ia penting itu untuk memerangi ekstremisme keganasan serta menghapuskan penyelewengan berkaitan isu agama.
“Saya tidak akan memohon maaf, saya ulangi, saya tidak akan memohon maaf bagi setiap langkah diambil, demi memastikan keselamatan dan bagi mementingkan aspek keselamatan untuk semua rakyat Malaysia sebagai keutamaan saya.
“Kami tidak akan tunggu sehingga kekacauan berlaku, sebelum mengambil semua langkah yang perlu. Ini prinsip kami,” katanya.
Najib berkata aktiviti kumpulan itu telah menyebabkan penderitaan berjuta-juta rakyat di Syria dan Iraq.
Tambahnya, Al-Qaeda dilihat kini cuba untuk menyaingi IS dengan melancarkan serangan ke atas hotel-hotel di Mali dan Burkina Faso, baru-baru ini.
“Ratusan orang terbunuh dan ramai yang cedera parah. Dan untuk apa? Bukan untuk Islam, kerana tiada yang Islamik tentang keganasan. Kumpulan-kumpulan ini mengkufuri agama yang cintakan keamanan, toleransi dan persefahaman.
“Mereka mengejutkan majoriti umat Islam yang dengan jelas menyatakan ‘anda tidak mewakili kami’,” katanya lagi.