Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeSabahViral

Petani Sawah Padi Keningau Tanggung Rugi Akibat Kemarau

By 19 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Ahmad Faizal Jamil (Sabah)

KENINGAU, SABAH, 19 Januari 2016 (Malaysiaktif) –?  Hasil padi adalah salah satu sumber utama pendapatan petani di Kampung Jaya Baru Keningau. Sebelum ini Kampung Jaya Baru merupakan salah satu kawasan pengeluar padi kampung, tetapi kesan kemarau fenomena El Nino merubah semua.

Kemarau yang dijangka berlarutan hingga Mac ini membimbangkan kerana ia dianggap musim kerugian kepada para petani sawah padi di sini.

Seorang petani, Jumir Sundang berkata kemarau sebelum ini turut memberi impak kepada petani, tetapi ia dapat diatasi apabila air sungai Bayayo masih mampu disalurkan ke sawah mereka.

Jpeg

Parit yang menyalurkan air ke sawah berkenaan kering.

Menurut beliau, air sungai Bayayo kini tidak dapat menampung keperluan bilamana terdapat dua buah loji dibina bagi menampung keperluan di dua daerah, iaitu Keningau dan Nabawan. Pembinaan loji ini dikatakan pernah dibantahi penduduk kampung yang bimbang ia memberi kesan kepada tanaman mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jaya Baru, Rapasil@ Mohd Razwan Kaalangang mengesahkan permasalahan ini dan menyatakan kesan daripada masalah ini juga pembekal beras di Keningau terpaksa menaikkan harga beras kampung dari RM 8.00 kepada RM 9.50 segantang. Ini kerana Keningau tidak mampu menghasilkan beras kampung dan pembekal terpaksa mendapatkan bekalan dari Ranau dan Papar.

 

Padi5

Air Sungai Bayayo yang semakin cetek.

 

 

Beliau turut bersimpati dengan masalah yang menimpa petani sawah padi di kampung tersebut kerana terpaksa membayar balik pinjaman yang di pinjam sebagai modal dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membeli anak benih, tetapi kini apa yang diusahakan tidak menjadi.

Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Sahanip Jamil yang membuat pemantauan ke kampung-kampung terbabit telah memaklumkan ke Jabatan Pengairan dan Saliran Keningau agar masalah ini dapat diambil tindakan segera.

Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Keningau turut memaklumkan bahawa untuk ketika ini jabatan tidak mempunyai peruntukan khas bagi menangani permasalahan tersebut.

Bagaimana pun, tindakan awal yang boleh dilakukan ialah pihak jabatan akan membuat agihan air kerana kekurangan air berlaku dari tahun lalu apabila paras air sungai Bayayo menurun lebih daripada 50 peratus hingga memaksa JPS membuat penggiliran seminggu untuk setiap loji.

JPS turut memaklumkan Keningau kini memiliki hanya tiga stesen loji. Keadaan ini menyebabkan setiap stesen terpaksa menunggu dua minggu bagi membolehkan setiap loji dapat menampung kapasiti keperluan.

Sahanip, selaku Pemimpin Pembangunan Masyarakat yang dilantik khas bagi membantu menyelesaikan permasalahan penduduk di Kampung N34 Liawan ini memandang serius perkara tersebut dan akan sentiasa berhubung terus dengan Pejabat Pengairan Dan Saliran Keningau bagi menyelesaikan permasalahan ini.

 

Tinggalkan komen anda