Skip to main content
Home

Selesai Masalah Di Persidangan Pakatan – Wan Azizah

By 5 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Malaysiaaktif) –Menjelang persidangan pimpinan Pakatan Harapan akhir minggu ini, pihak pembangkang akan mendukung usaha-usaha yang perlu bagi menyelesaikan masalah dalaman parti termasuk isu kerusi pilihan raya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan pihaknya bersama DAP dan Amanah akan berusaha untuk mencapai kata sepakat melalui persidangan di Shah Alam minggu ini.

“Kami yakin pemeteraian perjanjian Pakatan Harapan ini merupakan kemajuan besar melambangkan kematangan politik PKR, DAP dan Amanah, yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini,” katanya dalam sidang media di pejabat Amanah di Kuala Lumpur.

Beliau berkata persidangan itu akan menjadi medan perbincangan bersama perjanjian yang mengandungi 7 fasal utama termasuk prinsip dan kaedah membuat keputusan, menyelesaikan pertikaian antara parti, dan membangunkan dasar bersama.

“Pakatan Harapan juga akan menetapkan prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihan raya termasuk penentuan kerusi yang akan ditandingi, prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang serta dalam menangani pelanggaran perjanjian,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpendapat isu pengagihan kerusi ahli Majlis Kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu diselesaikan kerajaan negeri.

Jelasnya, keputusan terbabit tidak mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan.

“Itu keputusan pentadbiran Selangor, bukan parti, PAS masih lagi merupakan sebahagian pentadbiran Selangor, meskipun tidak menyertai Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang menegaskan kerjasama politik antara PKR dan PAS masih berjalan seperti biasa.

“Hubungan tidak putus, tidak ada isu. Kita hanya tambah tahaluf siyasi 3 parti. Lebih diperkukuh dengan perjanjian ini. Hubungan masing-masing dengan NGO parti-parti lain kekal. Tidak ada masalah.

“Selangor tidak digugat. Hubungan kerjasama masing-masing ada,” katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Parlimen, DAP Lim Kit Siang, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

 

Tinggalkan komen anda