
Oleh Ahmad Faiz Mansur dan Azrul Hasan Georgetown, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyeru agar masyarakat terutamanya penduduk Pulau Pinang menerima baik Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) demi kemajuan dan kestabilan ekonomi di Malaysia.
Ujar beliau lagi, TPPA penting untuk Pulau Pinang kerana negeri ini merupakan salah sebuah hub perdagangan di rantau ini.
Malaysia sebagai salah sebuah negara yang bergantung dengan perdagangan perlu melihat TPPA secara keseluruhan dan seimbang, tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri siri jelajah taklimat dan penerangan TPPA anjuran Jabatan Pembangunan Perseketuan Pulau Pinang dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Taklimat dibahagikan kepada tiga sesi yang dihadiri oleh Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), penjawat awam dan ahli politik, pihak industri serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang.
Pelbagai perkara berkaitan TPPA telah dibangkitkan serta diperjelaskan supaya orang ramai lebih memahami kandungan perjanjian TPPA berkenaan.
Perjanjian TPPA menjadi kontroversi apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah memutarbelitkan fakta sebenar mengenai TPPA sehingga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat terhadap TPPA.