Skip to main content
Berita TempatanHome

Elak Sebar Maklumat Palsu Tegas Menteri KKMM

By 11 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Faris Fuad KUALA LUMPUR, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menasihatkan para pengamal media untuk lebih berhati-hati dalam menulis berita atau laporan untuk mengelakkan sebaran maklumat yang palsu dan mempunyai unsur fitnah.

Beliau berkata laporan yang dikeluarkan penting kerana ia sedikit sebanyak akan mengaruhi persepsi  orang ramai serta membentuk pendapat umum.

“Menyebar berita palsu atau yang diputar-belitkan mampu memberi kesan buruk selain mencetuskan konflik,” katanya dalam catatan terbarunya dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.

Menurutnya, sumber berita yang tidak tepat boleh mengakibatkan masalah serius termasuk konflik perkauman.

Jelasnya, pengamal media mempunyai tanggungjawab membangunkan negara bukan sebaliknya.

“Media adalah mekanisme penting yang mampu mempengaruhi hala tuju dunia, pengamal media digesa menerima nasihat Sultan Perak dan memastikan media membantu membangunkan negara, bukan sebaliknya.”

Dalam pada itu, beliau menyifatkan peringatan Sultan Nazrin Shah tempoh sebagai peringatan penting untuk pengamal media arus perdana dan alternatif.

Tambahnya, ada sesetengah pihak mendakwa media alternatif sudah mengambil alih peranan media arus perdana.

“Ini adalah benar di kebanyakan negara di dunia di mana majoriti rakyatnya mendapat berita daripada media alternatif dan populariti media cetak merudum ke tahap terendah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Baginda menasihatkan para wartawan supaya tidak bersubahat melakukan kemungkaran dan mengingatkan bahawa bekerja adalah satu fardu kifayah, ibadah yang perlu dilaksanakan dengan sepenuh keluhuran, keikhlasan, kejujuran dan ketelusan agar rezeki yang diperoleh berkat.

Tinggalkan komen anda