Skip to main content
HomeViral

Cadangan Laluan Haiwan Liar Di Lebuh Raya Dikaji – Wan Junaidi

By 15 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUALA NERUS, 15 Feb — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menjalankan kajian berhubung cadangan pembinaan laluan untuk haiwan liar melintas lebuh raya, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata sekiranya kajian itu nanti mendapati cadangan itu boleh dilaksanakan, kementerian bersedia membina laluan itu yang dianggarkan menelan kos RM3 juta ke RM4 juta, bergantung kepada kedudukan kewangan.

“Saya ada mesyuarat dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, LLM, untuk membincangkan persoalan berbangkit tentang hutan, kalau hutan semakin sedikit, kediaman haiwan semakin sempit, kawasan pergerakan haiwan juga terhad.

“Kerajaan pusat melalui PERHILITAN telah mengambil keputusan untuk mewujudkan ‘Forest Spine’ sekali gus untuk memastikan wujud koridor-koridor hutan yang bersambung supaya ada laluan untuk haiwan liar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal di sini hari ini.

Beliau berkata habitat hidupan liar seperti gajah dan harimau kini terjejas akibat projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya dan empangan hidro elektrik yang memaksa haiwan liar itu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat selain faktor kurangnya sumber makanan.

Beliau menjelaskan kawasan di lebuh raya yang sering berlaku kemalangan membabitkan hidupan liar akan dikenal pasti sama ada ia merupakan laluan utama haiwan liar melintas.

Katanya pihak LLM juga perlu sentiasa memantau pagar-pagar di sepanjang lebuh raya agar tidak bolos kerana ia turut menjadi punca kemalangan yang membabitkan hidupan liar yang diancam kepupusan seperti harimau dan gajah.

Wan Junaidi turut menzahirkan rasa sedih dengan kes kematian seekor harimau belang yang sarat mengandung dua anak dalam kemalangan di Kemaman baru-baru ini dan berharap kejadian seperti itu tidak berulang.

Sementara itu, katanya beliau juga akan menasihati pihak PERHILITAN dan pihak berkuasa agar tidak lagi mengeluarkan lesen baharu memburu di hutan kerana ia turut memberi kesan kepada sumber makanan hidupan liar.

“Kalau kita bunuh rusa, kijang, babi hutan, mana harimau nak makan. Sama juga kalau kita tebang pokok di hutan, gajah pun mencari makan dengan merosakkan tanaman manusia,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda