Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

KTMB Shuttle Tebrau Bakal Ditamatkan, Diganti RTS Link Bermula 2027

By 24 Jun 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Berita Harian (Johor)

JOHOR BAHRU, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shuttle Tebrau, yang menjadi nadi pengangkutan harian ribuan rakyat Malaysia dan Singapura bakal ditamatkan sepenuhnya enam bulan selepas sistem Rapid Transit System (RTS) Link mula beroperasi pada 1 Januari 2027.

Penghentian Shuttle Tebrau bukan sekadar penutup tirai kepada sebuah era pengangkutan ikonik, malah menjadi titik permulaan kepada sistem rel rentas sempadan yang lebih moden dan mampan, sejajar dengan aspirasi Johor ke arah sebuah metropolis serantau bertaraf antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015, perkhidmatan ini mencatat purata harian sekitar 8,635 penumpang, dengan 31 perjalanan ulang-alik setiap hari.

“Penamatan Shuttle Tebrau dijadualkan dalam tempoh enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi, selaras dengan perancangan strategik jangka panjang pengangkutan rentas sempadan yang lebih efisien dan moden melalui RTS Link.

“Set kereta api sedia ada akan digunakan semula bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan dari JB Sentral ke Stesen Kempas, selari dengan inisiatif penyuraian trafik di pusat bandar Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Tambah Mohamad Fazli, terdapat beberapa cadangan turut dikemukakan bagi memastikan jajaran trek sedia ada tidak dibiarkan terbengkalai.

“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah menukar laluan tersebut kepada lorong khas bagi penunggang basikal dan motosikal ringan,” katanya.

RTS Link, projek kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Singapura, dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala, dengan tempoh perjalanan lebih singkat dan sistem imigrasi bersepadu di setiap stesen.

-ZS-

Tinggalkan komen anda