
ALOR SETAR, 15 Feb — Semua pihak perlu berhenti mempolemikkan keputusan Kementerian Pendidikan meneruskan penggunaan novel Pantai Kasih kerana keputusan itu dibuat secara profesional, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab.
Beliau berkata, pada prinsipnya buku-buku yang dipilih kementerian bagi digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran telah melalui satu panel pakar dalam bidang tertentu untuk dinilai.
“Berdasarkan perbincangan mereka secara panjang lebar secara keseluruhannya buku itu sesuai untuk pelajar peringkat umur itu, jadi ibu bapa tak perlu risau. Kita jangan buat petikan-petikan buku, kita kena lihat buku itu secara keseluruhan.
“Kita perlu nilai ilmu secara keseluruhan dan nilai positif, polemik itu perlu dihentikan kerana kami lakukannya secara profesional,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pelaporan Status Pelaksanaan Transformasi Pendidikan Sekolah-Sekolah Kodiang di Kodiang, dekat sini hari ini.
Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan Novel ‘Pantai Kasih’ akan terus digunakan sebagai komponen sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar Tingkatan Empat di Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Novel berkenaan hangat dibincang dan diviralkan di media sosial kerana didakwa terpalit dengan unsur lucah dan menonjolkan hubungan negatif antara doktor dan jururawat.
Dalam pada itu, Ahmad Tajudin berkata, program Transformasi Pendidikan Sekolah-Sekolah Pendidikan Kodiang menunjukkan hasil positif selepas setahun dilancarkan.
Program perintis itu, melibatkan tiga sekolah di kawasan Kodiang iaitu SK Kodiang, SK Tunku Bendahara dan SMK Tunku Bendahara, berkonsepkan perkongsian pintar antara sekolah-sekolah dalam aspek kepakaran pengajaran dan pembelajaran.
Antara perkara yang menjadi tumpuan tahun ini ialah pewujudan Professional Learning Centre (PLC) bagi guru-guru di sekolah terlibat mewujudkan komuniti pembelajaran di antara mereka.