
Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/Bernama
PUTRAJAYA, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia dan Hari Malaysia 2025, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri sedang menganjurkan Program Ekspresi Merdeka melalui Pertandingan Video Kreatif yang bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
“Pertandingan ini sedang berlangsung bermula pada 5 Jun yang lalu sehimgga 8 Ogos 2025 bagi Peringkat Negeri. Video yang memenangi Johan di Peringkat Negeri kemudiannya akan dipertandingkan di Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berakhir pada 13 September.
“Tujuan pertandingan adalah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menzahirkan semangat kemerdekaan melalui medium kreatif. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi dan akaun media sosial AKM,” kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu, berkata demikian di Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di sini sebentar tadi.
AKM dalam satu kenyataannya hari ini, berharap program ini dapat merangsang kreativiti dan ekspresi rakyat dalam menyambut kemerdekaan dengan cara yang lebih dinamik dan relevan.
“AKM menyeru semua warganegara Malaysia yang berminat untuk turut serta dalam pertandingan ini.
“Pelbagai pengisian menarik akan turut diadakan seperti sesi interaktif kenegaraan, pertandingan mewarna, persembahan rakyat, cabutan bertuah, pertandingan pakaian beragam oleh pelajar sekolah, reruai pameran agensi kerajaan/swasta dan jualan rahmah,” menurut kenyataan itu.
-ZS-





