
Oleh Mazlin binti Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 29 Februari (Malaysiaaktif) – Anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Daerah Batu Pahat telah menjalankan operasi ke atas gerai-gerai di kawasan Dataran Penggaram Batu Pahat. Operasi yang bermula pada pukul 9.00 malam itu telah mendapati sebuah premis menjual pakaian jersi jenama JDT Southern Tigers yang disyaki tiruan.
Sebanyak 117 helai jersi jenama JDT Southern Tigers pelbagai saiz yang disyaki tiruan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 5,850.00 telah disita dibawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut (mana-mana orang orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang-barang itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubung dengan cap dagangan berdaftar). Siasatan akan dijalankan bagi mengenalpasti punca bekalan barangan tersebut.
Sehubungan itu, pihak KPDNKK percaya barangan tersebut adalah untuk diedarkan dalam pasaran di Negeri Johor seperti Pasar Malam, Pasar Borong dan kedai-kedai kecil yang menjual barang-barang tiruan. Difahamkan, barangan tiruan ini dijual dipasaran dalam Negeri ini pada kadar harga antara RM 50.00 hingga RM 100.00 bergantung kepada jenis (gred) dan kualiti barangan tersebut.
Bagi kesalahan yang dilakukan membabitkan barangan tiruan ini, denda yang dikenakan sebanyak RM 10,000.00 bagi setiap perihal barangan yang dipamerkan atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-dua bagi orang perseorangan bagi kesalahan kali pertama. Manakala, kesalahan kali ke-2 denda RM 20,000.00 bagi setiap perihal barangan yang dipamerkan atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak KPDNKK Cawangan Daerah Batu Pahat akan terus menjalankan operasi yang sama ke atas mana-mana premis yang menjual barang tiruan jenama berkenaan termasuk premis-premis yang menjual bahan cetak rompak pada masa akan datang. Oleh itu, adalah dinasihatkan peniaga-peniaga di dalam Daerah Batu Pahat dapat mematuhi Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan yang dikuatkuasakan dan tidak terbabit dalam menjalankan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan.
Pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati dalam membuat pembelian ke atas barangan yang terdapat didalam pasaran. Operasi ini turut dibantu oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Batu Pahat, Johor.