Oleh Edawati Sulaiman @ Hod (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Karnival Makanan Warisan 1Malaysia sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diadakan di Tasik Titiwangsa telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansur. Tujuan penganjuran karnival ini adalah untuk mengetengahkan makanan warisan dari seluruh pelusuk tanah air dengan mengumpulkan para penjaja serata Malaysia.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera, Mislan Samijo, karnival ini diharapkan dapat membantu penjaja dan pengusaha makanan tradisional dalam meneruskan tradisi makanan warisan mereka. Setiap negeri mempunyai keunikan dan keistimewaan juadah masing-masing dan diharapkan agar makanan ini dapat menandingi makanan barat yang semakin menjadi menu utama generasi masa kini.
Karnival yang berlangsung dari 26 hingga 28 Februari 2016 ini berjaya memempatkan lebih 100 gerai jualan makanan tradisi dan 20 buah foodtruck. Sepanjang karnival pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan seperti demo masakan, permainan tradisionla, cabutan bertuah, sukan air, forum agama dan pertandingan memancing.
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif mewujudkan penjaja food truck dengan memberi subsidi sebanyak RM10 ribu kepada penjaja foodtruck untuk bayaran muka. Mereka juga akan diberikan lesen sementara dan lokasi untuk foodntruck beroperasi.
Seramai 50 orang menerima kunci dan lesen berniaga foodtruck yang disampaikan oleh Tengku Adnan.
“Kita harapkan dengan adanya bantuan foodtruck ini, ia dapat memberikan nafas baru kepada penjaja-penjaja kecil dalam menghasilkan hidangan yang lebih enak dan berkualiti.
“Foodtruck ini mudah untuk disimpan, tahap kebersihan lebih terjamin dan senang untuk penjaja membawa ke tapak-tapak berniaga atau dengan kata lainnya mudah alih,”kata Tengku Adnan.