
Oleh Shahrizan Mahd Fadzil (Kangar)
KUALA PERLIS, 11 Feb (Malaysiaaktif) — Sebanyak 17 keluarga setinggan mangsa kebakaran di Kampung Pelangi Bukit Tok Po Kuala Perlis Isnin lepas menerima bantuan semalam.
Pelbagai pihak tampil membantu, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang menghulurkan wang tunai RM500 kepada setiap keluarga, selain membawa anak-anak mereka membeli keperluan sekolah di pasaraya berhampiran. Turut menghulurkan bantuan, Ahli Parlimen Kangar, Shahruddin Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Mat Hasan.
Dalam pada itu, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan sebuah van 1JPJ di Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis untuk memudahkan mangsa mendapatkan lesen dan cukai jalan baharu secara percuma.
Pergerakan Belia 4B menyumbangan periuk nasi elektrik untuk kegunaan mangsa bila mereka pulang kelak.
Kebakaran pada kira-kira pukul 5.00 petang itu memusnahkan sejumlah 20 buah rumah yang didiami keluarga nelayan, termasuk sebuah kereta.
Walaupun kejadian berlaku pada hari sambutan Tahun Baru Cina, namun pasukan bomba sukarela kaum Cina yang paling awal tiba untuk mengawal kebakaran
Buat masa ini, semua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis.
Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan makanan dan minuman sepanjang mangsa berada di penempatan sementara.