Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Mangsa Kebakaran Pantai Dalam Terima Rumah PPR DBKL

By 11 Februari 2016Tiada komen1 minit bacaan
Oleh Sazaki Abdul Rahman & Syaiful Harif Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Malaysiaaktif) — Lapan keluarga mangsa kebakaran rumah setinggan di Jalan Kubur, Pantai Dalam kelmarin menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) buat mereka.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Utama Raja Nong Chik Zainal Abidin dalam Majlis Penyampaian Sumbangan kepada mangsa di Pusat Penempatan Sementara Mangsa Kebakaran di Pusat Komuniti Lembah Pantai semalam.

Raja Nong Chik turut mengumumkan beberapa sumbangan kepada keluarga mangsa antaranya RM1,000 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan, RM500 daripada DBKL, RM300 daripada UMNO Bahagian Lembah Pantai, pakaian, peralatan sekolah dan buku teks daripada Jabatan Pendidikan WPKL serta kit bencana sumbangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz, sebanyak lapan keluarga mangsa warganegara ini dibantu penempatan rumah PPR tiga bilik yang telah siap dibina di PPR Muhibah, Kepong. Mangsa juga tidak perlu membayar sewa selama tiga bulan.

Penerima bantuan, Shahirah Abdul Hamid ketika ditemui melahirkan rasa  syukur atas bantuan yang telah diberikan. Tambahnya, rumah PPR yang diterimanya lebih selesa berbanding bilik sewa dahulu dengan kadar RM250 yang dihuni keluarganya seramai lima orang.

Tinggalkan komen anda