
Oleh Wan Muhamad Zikri Wan Kamis (Kangar)
KANGAR, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Seratus pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) memeriahkan Program Semarak Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampung Ujung Bukit Ahad lepas.
Pelajar-pelajar jurusan sains dan senibina ini berada di Perlis buat beberapa hari untuk menjalankan penyelidikan berkenaan pembangunan.
Sebagai salah satu pengisian penyelidikan mereka, Kampung Ujung Bukit yang terkenal dengan projek Inap Desa menjadi destinasi pilihan bagi menjalani aktiviti bersama masyarakat setempat.
Antara aktiviti sepanjang lawatan mereka, gotong royong membersihkan tanah perkuburan, sukaneka bersama masyarakat kampung serta lawatan rumah ke rumah bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Hajah Rela Ahmad turut hadir bersama pelajar dan penduduk kampung.
Pengerusi K1M Kampung Ujung Bukit merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ab. Karim Saad berkata, sumbangan barangan dapur kepada golongan Asnaf adalah bagi mengurangkan beban mereka.
Sementara itu, wakil pelajar, Mohd. Akmal Shamsuri, 23, berkata, ada di antara peserta program tidak pernah menyertai program seumpama ini.
“Ia merupakan suatu pendedahan yang sangat berguna bagi pelajar-pelajar menimba pengalaman baru,” katanya.