
Oleh Ahmad Faiz Mansur (Georgetown) / Foto: PDRM
GEORGETOWN, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Ghafar Rajab pada Isnin dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Haji Abdul Rahim Hanafi yang dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Perak.
Abdul Rahim yang telah berkhidmat selama empat tahun di Pulau Pinang, menggantikan Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh yang bersara wajib, minggu lalu.
Majlis serah tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.