
Oleh Azimee Abdullah
20 Feb, Balik Pulau, PULAU PINANG (Malaysiaaktif) : Seramai 120 orang Jururawat Pelatih bersama tenaga pengajar turun padang membuat ujian saringan penyakit dari rumah ke rumah di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Betong pagi ini.
Turut serta dalam lawatan ziarah Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pulau Betong, Sr. Mohd Farid Saad.
Menurut Hilmi, program sebegini akan diadakan dua kali sebulan secara berkala di setiap DUN di negeri Pulau Pinang.
Program pada hari ini melibatkan gabungan Kolej Jururawat Masyarakat dari negeri Perlis dan Kedah serta Kolej Jururawat Pergigian Pulau Pinang.
Objektif program ini adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang sihat, membuat ujian saringan penyakit, mengambil langkah-langkah awal mencegah penyakit serta memberi maklumat berhubung penyakit tidak berjangkit.
Abdul Hamid Abdul Kadir, 64, penduduk Kampung Genting, menyatakan bahawa program sebegini sangat baik sekali kerana penduduk kampung dapat mengetahui jenis penyakit yang mereka hidapi melalui ujian saringan yang diberikan.
Penghargaan diberikan kepada semua peserta yang terlibat dengan penyampaian sijil penghargaan oleh Datuk Seri Dr. Hilmi kepada wakil pengajar dari Kolej Jururawat yang terlibat.