
Oleh Muhammad Rizal Redzuan (Perlis/Kedah)
KANGAR, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Cuaca panas kesan fenomena El Nino di mana tiada hujan dan suhu mencecah hampir 40°C menyebabkan kebanyakan tali air di utara tanah air menjadi kering kontang. Keadaan ini menyukarkan pengusaha pekasam mendapatkan bekalan ikan air tawar.
Seorang pengusaha pekasam ikan, Ramli Hassan, 64, berkata kebiasaannya dia mampu menangkap kira-kira 30 kilogram ikan air tawar sehari dengan menggunakan pukat. Bagaimana pun, apabila tali air menjadi kering seperti yang berlaku sekarang ini, dia terpaksa menggali lopak-lopak air sedalam paras pinggang untuk mencari ikan.
Bagi Anuar Ariffin, 44, dari Sungai Berembang, dia menghentikan memproses ikan pekasam sejak hampir empat bulan lalu kerana tiada bekalan. Dia mendapat dalam RM50 hingga RM60 sehari pada waktu sebelum kemarau.
Masalah yang sama turut dirasai oleh Haji Harun Ahmad di Kampung Kuala Dulang Kechil, Kedah. Kebiasaannya setiap pesawah mempunyai satu kawasan tadahan dan simpanan ikan yang dipanggil ‘telaga.’
Apabila sawah dikeringkan, dalam telaga inilah ikan berkumpul dengan sendirinya untuk terus hidup. Pesawah biasanya mengambil ikan dari telaga ini untuk dijadikan pekasam atau ikan kering sebagai sumber pendapatan tambahan ketika musim menuai.
Bagi Harun kaedah ini kali ini tidak berlaku kerana kemarau yang turut mengeringkan telaganya.