Skip to main content
EkonomiHomeViral

[VIDEO] Harga Nira Melambung, Penghasilan Merosot

By 21 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan (Yan)

YAN, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Cuaca panas ekstrem berikutan fenomena El Nino turut menjejaskan pendapatan penguasaha nira di sini.

Menurut pemilik Taman Nira di Sedaka, Rohana Ali, selain kesukaran nira untuk keluar dari pokok nipah, yang keluar cepat menjadi masam. Nira yang ditadah menggunakan bekas ‘tukey’ bertukar menjadi masam sebelum sempat penuh.

Beliau berkata kebiasaannya setelah tangkai buah nipah ditoreh, tukey akan diletakkan selama lima hingga 10 jam sampai penuh. Bagaimana pun, dalam keadaan kemarau ini tukey tidak penuh dan kemanisan nira bertukar kepada masam dalam masa yang singkat.

Rohana merupakan generasi ketiga mewarisi kebun pokok nipah yang berusia lebih 100 tahun ini. Selain pokok nipah miliknya yang tidak dapat menghasilkan nira dengan sempurna, para pembekal yang biasa menjual nira kepadanya turut menghadapi masalah yang sama.

Beliau berkata pelanggannya bukan sekadar orang tempatan, malahan juga terdapat pelancong dari Amerika Syarikat, Brazil, Perancis dan Singapura yang kecewa setelah berkuncung ke ladangnya tetapi tidak dapat menikmati air nira segar.

 

4132543a-f30d-4d54-8761-b45d00042aea

Nira habis – tiada bekalan kerana kemarau.

 

Penggemar nira, Che Rokiah Md Isa, 53, yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, setiap hari mengunjungi kebun Rohana untuk menikmati air nira. Beliau juga berasa hampa kerana sejak beberapa minggu ini tiada bekalan.

Seorang lagi pengusaha nira di Simpang Empat Perlis, Said Man, 65, turut mengadu hal yang sama. Beliau tidak dapat berniaga kerana langsung tiada bekalan.

Beliau berkata walaupun pada musim-musim biasa harga nira RM10 satu jag, sekarang sudah meningkat kepada RM20 satu jag di tempat-tempat lain. Bagaimana pun, Said masih kekal menjual pada harga RM4 satu jag.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Simpang Empat, Azemi Ibrahim berkata rata-rata pengusaha nira di sini menghadapi masalah yang sama kerana pokok nipah hidup di kawasan berpaya, tetapi kawasan tersebut sekarang kering kontang.

 

Tinggalkan komen anda