
Oleh: Mohammad Abdul Rahman (Sabah)
PAPAR, 29 Apr (Malaysiaktif) –? Bumiputera dan komuniti luar bandar perlu mengambil peluang menyertai pelbagai program yang menyediakan kemudahan latihan untuk mempertingkatkan hasil pendapatan isi rumah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata masyarakat bumiputera dan komuniti luar bandar masih belum terlibat sepenuhnya dalam pembangunan industri kecil sederhana (IKS) walaupun sektor itu berkembang di peringkat nasional serta antarabangsa.
“IKS berpotnsi dalam pembangunan ekonomi negara, khususnya sebagai sokongan kepada syarikat lebih besar, mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan modal insan.
“Kerajaan sentiasa konsisten membantu dan menggalakkan perkembangan perusahaan IKS di seluruh negara,” katanya semasa merasmikan Program Jelajah Gerak IKS Koridor Pembangunan Sabah (SDC) semalam.
Tambahnya, Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputra (TERAJU) sentiasa melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan untuk usahawan baharu bumiputera.
Justeru melalui Jelajah Gerak IKS yang bertemakan ‘Meneroka Potensi IKS Desa’ ini membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar.
“Kerajaan negeri menyambut baik kesungguhan penganjur menjayakan program ini, yang julung kali diadakan dalam usaha mempromosikan IKS di kawasan luar bandar,” ujarnya lagi.
Ketua Eksekutif SEDIA selaku pengerusi penganjur, Datuk Mohd Yaakub Johari berkata seramai 500 peserta mengikuti program yang berlangsung selama empat hari bermula pada 28 April itu.
Katanya, objektif utama program ini untuk mewujudkan kesedaran kepada bakal usahawan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta bantuan yang disediakan di samping menyediakan maklumat terkini tentang dana pembangunan IKS dan bumiputera di negeri ini.
Beliau berharap pelaksanaan aktiviti sebegini akan menjadi landasan untuk berkongsi pandangan, pengalaman selain membina rangkaian dan meneroka peluang serta potensi yang terdapat dalam industri desa.
SF