
Oleh Mohamad Azree Mohd Zaki/Emran Ismail/ Che Nor Ismail
RAUB, 29 Apr (Malaysiaaktif) — Selain sungai di Taman Rimba Kenong berhampiran Kuala Lipis yang dilaporkan mengalami kekeringan baru-baru ini, cuaca panas dan kering melampau turut memberi kesan di Rimba Lata Lembik.
Sebagai antara aset eko-pelancongan negeri Pahang, lokasi yang terletak kira-kira 40km ke barat laut bandar Raub ini pada waktu-waktu lain sentiasa menarik pengunjung, tetapi sekarang mengalami kemelesetan.
Impak cuaca ketara disedari sejak Januari hingga Mac dan menurut seorang penduduk yang mengusahakan sebuah kemudahan pelancongan di sini, Nur Syariman Shaharuddin, kehadiran pelancong bagi 2016 setakat ini merosot berbanding sebelumnya.
Bagi pengawas Unit Hutan Lipur Raub, Ahmad Tajuddin Mohamad, keadaan sedemikian mungkin berikutan impak daripada cuaca, namun demikian beliau tidak dapat mengesahkan punca sebenar kerana itu bukan tugasnya.
Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Raub, Abu Talib Akub ketika dihubungi mengesahkan bahawa paras air di Sungai Lipis memang surut sebanyak dua kaki mengikut bacaan paras air Sungai Lipis di Batu Malim, Raub.
Menurut Nur Syariman yang mengendalikan Eco Taman Rimba Lata Lembik, walaupun pihaknya telah mengusahakan pelbagai promosi untuk menarik pengunjung ke sini namun ia kurang berkesan.
Menurut statistik bancian pelawat ke hutan lipur negeri dari Januari hingga Mac 2016, jumlah pengunjung ke Hutan Lipur Lata Lembik menurun kepada 5,235 orang berbanding 9,167 pada masa yang sama bagi 2015.