Skip to main content
Berita TempatanGlobalHomeKuala LumpurViral

Kempen Ramadhan AlHabeeb Untuk Bantu Pelarian Syria

By 25 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Oleh Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 25 Apr (Malaysiaaktif)  — Konflik kemanusiaan di Syria semakin parah dan mengikut laporan daripada Pusat Penyelidikan Dasar Syria (SCPR), sehingga awal 2016, sejumlah 470 ribu orang, termasuk 25 ribu kanak-kanak dan 22 ribu wanita dilaporkan maut, sementara seramai 6.36 juta menjadi pelarian di dalam negara sendiri.

Memandangkan tragedi kemanusiaan yang sangat serius ini,  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui  agensi kemanusiaannya, iaitu Malaysian Life Line for Syria (MLLFS) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia hari ini menyatakan komitmen untuk bergerak membantu  meringankan beban rakyat negara itu dengan melancarkan Kempen Ramadhan AlHabeeb 4.0, bagi tujuan mengumpulkan dana berjumlah RM1 juta.

Ke arah mencapai sasaran berkenaan, MLLFS, GPM dan ABIM dengan kerjasama King’s Char Kuew Teow (KCKT)  akan mengadakan Konsert Amal Malam Sinar Syria pada 1 Mei ini di tapak KCKT Port Dickson, Negeri Sembilan bermula pada pukul 8.30 malam. Konsert tersebut akan disertai oleh artis-artis tempatan seperti Adam AF, Bunkface dan Altimet.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahrir Azfar Saleh semasa sidang media di sini hari ini, tujuan penglibatan artis tempatan ini adalah sebagai platform kepada mereka untuk turut serta dalam misi kemanusiaan serta sebagai satu inisiatif dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat melalui penglibatan artis.

Sementara itu, Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai usaha sejak lima tahun lalu bagi membantu rakyat Syria. Antaranya, misi bantuan perubatan, pendidikan dan makanan.

ABIM dan GPM dengan kerjasama kerajaan Malaysia juga telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah sekolah di Kuala Lumpur untuk membantu pendidikan kanak-kanak pelarian Syria yang dihantar ke sini.

Sebarang bantuan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Maybank : Malaysian Life Line for Syria Berhad 5648-1051-3971 atau secara dalam talian melalui pautan www.billplz.com/infaqramadhan.

 

-DK / AAS

Tinggalkan komen anda