Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Lebih 3,000 Penyokong Adenan Semasa Penamaan Calon

By 25 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Borhan Ahmad Ulis (Sarawak)

LUNDU, 25 Apr (Malaysiaaktif) — Kerusi Dewan Undangan Negeri N.3 Tanjong Datu menyaksikan pertandingan satu sama satu di antara calon Barisan Nasiona (BN), Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jazolkipli Numan.

Calon PKR terlebih dahulu masuk ke dalam Dewan Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Lundu kira-kira pukul 9.07 pagi diiringi oleh pencadang dan penyokong. Namun tiada penyokong lain hadir di luar dewan.

Jazolkipli, 51, yang berasal dari Kampung Bako, Kuching menyerahkan borang pencalonan kepada Pengurus Daftar, Hamsien Atar sejurus tiba di dalam dewan.

Beliau dicadangkan oleh Ahli PKR N.3 Tanjong Datu, Mohamad Sabtu Baharim, 50, dan disokong oleh Razali Bujang, 39, yang juga Ahli PKR di DUN yang sama.

 

20160425002720

 

Sementara itu, Adenan tiba di Pusat Penamaan Calon pada pukul 9.25 pagi diiringi oleh pencadang beliau, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) N.3 Tanjong Datu, Abdul Razak Abdul Wahab dan penyokong beliau, Timbalan Pengerusi PBB N.3 Tanjong Dato, Abu Seman Karim.

Adenan menyerahkan borang pencalonan kepada Hamsien kira-kira pukul 9.30 pagi dan beredar dari dewan pada pukul 9.35 pagi.

Tempoh penghantaran borang penamaan calon berakhir pada pukul 10 pagi dan Pengurus Pendaftar mengesahkan pertandingan satu lawan satu kira-kira 15 minit selepas itu.

Suasana di sekitar luar dewan pencalonan dihangatkan oleh kehadiran lebih 3000 orang penyokong calon BN yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isterinya, Datin Rosmah Mansor bersama isteri Adenan, Datin Seri Jamilah Haji Anu.

Adenan dan Najib terlebih dahulu menunaikan solat sunat hajat di Masjid Darul Taqwa sebelum berarak ke dewan pencalonan.

Cuaca cerah dan sedikit panas bergema dengan sorakan penyokong Adenan sambil menyanyikan lagu “Inilah Barisan Kita” sepanjang perarakan ke dewan.

Dalam pada itu, Jazolkipli memberitahu wartawan, beliau tidak gentar berhadapan dengan Adenan. Malah beliau menyatakan perasaan gembira apabila bertanding dengan seorang tokoh ternama negeri ini.

Ini merupakan pilihan raya pertama beliau. Sebelum ini beliau pernah menjadi penyokong kepada calon PKR bagi Parlimen 193, Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 2013.

Dalam Pilihan Raya Ke-10 pada 2011, Adenan menang di kawasan yang beliau tandingi ini dengan majoriti sebanyak 3,216 mengalahkan calon PAS, Nani Sahari dan calon bebas, Gilbert Asson Kulong.

Pilihan raya kali ini membabitkan seramai 9,921 orang pengundi berdaftar dengan majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.

Tempoh berkempen pilihan raya kali ini ditetapkan selama 11 hari bermula hari ini dan akan berakhir pada jam 12 malam, 6 Mei akan datang.

 

– AAS

Tinggalkan komen anda