
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa/ Foto: Abdul Hafiz Itam
KUCHING, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Suspek yang merosakkan kuil di Jalan Hospital, Ipoh Ahad lalu disahkan menjalani rawatan pesakit mental.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menyarankan semua pihak semak dahulu fakta sebelum membuat sebarang kenyataan supaya mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Khalid merujuk kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. S Jeyaindran bahawa suspek tidak mempunyai rekod sebagai pesakit mental.
“Saya rasa dia hanya merujuk rekod-rekod di hospital kerajaan. Saya ingin mengesahkan bahawa suspek itu telah menjalani rawatan pesakit mental sejak 2013 di Hospital KPJ Ipoh,” ujarKhalid selepas selesai solat Jumaat di Masjid Darul Ibadah Batu Kawah di Batu Kawah hari ini.
Khalid berkata pihaknya telah mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk membuat pertuduhan sama ada hari ini atau esok.
Sementara itu, sejak hari penamaan calon, polis telah membuka 23 kertas siasatan daripada 32 laporan yang diterima.
Kebanyakan laporan yang diterima melibatkan kes merosakkan poster dan menurunkan bendera. Baki sembilan lagi kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menyentuh keadaan di 20 kawasan panas, Khalid berkata anggota polis melakukan pemantauan rapi di semua lokasi tersebut.
“Kehadiran ramai anggota polis di kawasan berkenaan mungkin menjadi faktor tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Terdahulu Khalid mengadakan Perjumpaan Bersama Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis di Dewan Pahlawan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am’
– AAS