
Oleh Fauziah Hussain (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Budaya masyarakat Orang Asli, seperti Sewang, Main Jo’oh, Pinloin, Belian dan sebagainya lumrah diperagakan bagi tontonan pelancong dan semasa lawatan orang kenamaan ke tempat mereka.
Namun demikian, dalam arus zaman yang pantas berubah apakah golongan muda Orang Asli masih berpaut kepada budaya warisan nenek moyang mereka?
Ini isu yang cuba dikupas oleh Timbalan Dekan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Clare Chan Suet Ching.
Menurut beliau, “remaja dan anak-anak masyarakat Orang Asli berdepan muzik moden, budaya pop dan karaoke yang secara perlahan menghakis minat terhadap muzik dan tarian tradisional nenek moyang mereka.”
Namun demikian, kesinambungan dan kelestarian tradisi mereka boleh digarap dengan muzik moden hari ini melalui usaha kreatif, kontemporari, inovatif muzik kedua-duanya supaya warisan seni tradisi terus dikenali dan dikekalkan.”
Pengarah Jabatan Muzium Negara, Azmi Ismail yang berucap semasa perasmian sesi ‘Bicara Orang Asli – Melestarikan Seni Persembahan Orang Asli’ di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia hari ini berkata, budaya Orang Asli perlu dipelihara dan dikekalkan agar masyarakat itu boleh sentiasa mempunyai identiti warisan asal turun temurun.
Seorang aktivis masyarakat Orang Asli, Anchom Luji menyambut baik inisiatif Jabatan Muzium untuk membincangkan tentang kelestarian budaya masyarakat Orang Asli seperti yang diadakan hari ini.
Anchom Luji juga memberi penghargaan kepada komitmen Dr Clare dalam mendokumentasi seni tradisi masyarakat berkenaan. Beliau menyarankan supaya diperbanyakkan penyelidikan dan mengetengahkan dan mendayaupayakan legasi kesenian Orang Asli oleh pihak-pihak, termasuk Jabatan Arkib Negara, Jabatan Muzium Negara dan juga Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau ditemubual sebelum mengendalikan sesi selama dua jam itu.

Generasi muda perlu kreatif , inovatif sesuaikan seni tradisional supaya terpelihara, relevan dan diterima umum.
Pada akhir sesi, Dr Claire merumuskan bahawa generasi muda perlu kreatif dan inovatif dalam menyesuaikan seni tradisional supaya ia terpelihara, releven dan diterima umum.
Sempena sesi tersebut Dr Clare turut mempromosikan buku dan cakera padat yang dihasilkannya dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Semai yang bakal berada di pasaran sedikit masa lagi.
Untuk rekod, Dr Clare pernah menerima Anugerah Pingat Emas bagi penyelidikan bertajuk “Pendigitalan Cerita Rakyat Orang Asli, Muzik Asal dan Reka Bentuk Bunyi: Melestarikan Kebudayaan Orang Asal di Malaysia” Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2015 (PECIPTA 2015) pada Disember tahun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),
Lebih 300 orang peserta dari agensi dan jabatan bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivis Orang Asli serta ahli akademik IPTA dan UPSI hadir pada sesi hari ini.