Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Jangan Kait Agihan Wang Banjir dengan Politik – Shahidan

By 2 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUCHING, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Isu pemberian wang ihsan bencana banjir di Sarawak yang dikatakan bertembung dengan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)  tidak seharusnya dikaitkan dengan tujuan politik semata-mata.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini.

“Proses agihan ini merupakan proses biasa selepas urusan pengesahan penerima bantuan dibuat oleh NADMA dan saya harap tiada pihak berkepentingan mengangkat program murni seperti ini untuk tujuan politik semata-mata.

Tambahnya, pertembungan pemberian tersebut dengan tarikh DUN dibubarkan pada 25 April lalu tidak dapat dielakkan kerana penerima sudah pun dimaklumkan berkaitan program ini. Program agihan tersebut juga berjalan serentak di seluruh negara dan bukannya di Sarawak sahaja.

Bagi Sarawak, pemohonan melibatkan RM2,184,000 untuk 4368 keluarga telah diterima. Setakat ini,  sebanyak RM813,000 sudah diagihkan kepada 1626 penerima.

Sejumlah RM1,371,000 masih belum diserahkan lagi  kepada 2742  penerima dan agihan ditangguhkan sehingga PRN ke-11 selesai 7 Mei ini.

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pengarah NADMA Malaysia, Datuk Muhammad Yusoff Wazir, sebanyak 7545 keluarga mangsa banjir yang melibatkan sembilan negeri iaitu Sarawak, Kelantan, Selangor, Johor, Perak, Melaka, Terangganu dan Negeri Sembilan layak mendapat bantuan wang ihsan meliputi sejumlah RM3,772,500.

Program NADMA dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ini telah bermula sejak 19 Februari.

Setakat ini wang ihsan yang telah diagihkan di seluruh negara  melibatkan 3,669 penerima.

SF

 

Tinggalkan komen anda