
Oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto: Mohamad Syafiq Md Tahir
MELAKA, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Seorang pengawal keselamatan maut dihempap papan iklan di persimpangan lampu isyarat Limbongan/Pokok Mangga, Klebang Kecil, pagi tadi.
Mangsa, Ahmad Yusop Omar, 64, sedang menunggang motosikal dari arah Limbongan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira 7.00 pagi sebelum dihempap papan tanda iklan yang tiba-tiba tumbang semasa mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron berkata beliau masih lagi menunggu laporan penuh kemalangan tersebut.
“Saya difahamkan hujan lebat dan angin kuat ketika kejadian berlaku, dan papan tanda itu pula dikatakan rapuh diperingkat pangkal, jadi, saya masih menunggu laporan terperinci dari pihak Majlis Bandaraya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru di Ballroom MITC pagi tadi.
“Kepada keluarga mangsa, saya ucapkan salam takziah dan diharapkan bersabar. Kita menganggap ini sebagai salah satu kemalangan yang tidak diduga seperti juga kemalangan-kemalangan jalan raya yang lain,” katanya.
Tambahnya, beliau juga menerima rungutan bahawa terlalu banyak papan iklan di sekitar bandar Melaka dan kerajaan negeri sedang dalam proses menyelaras dan mengkoordinasikan papan iklan di sini.
“Kita telah mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan semua Pihak Berkuasa Tempatan bekerjasama untuk menggunakan papan tanda LED yang, jika dibina, akan menggunakan struktur yang lebih kukuh daripada papan tanda biasa,” kata Idris.
-DZ/SF