
Oleh Ninie Gumbang / Foto: Vicky Matanjang (Sarawak)
MIRI, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Sekatan Kerajaan Negeri terhadap pemimpin parti pembangkang yang cuba memasuki Sarawak seharusnya dihormati semua kerana Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa-kuasa tertentu mengikut perjanjian 1963 dalam hal ehwal Imigresen.
Demikian kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Said Keruak selepas mengadakan tinjauan di sekitar bandar raya Miri, petang tadi.
Tambahnya, bagaimanapun Ketua Menteri Sarawak turut menyatakan jika ada rayuan mana-mana pihak, perkara tersebut akan dipertimbangkan untuk diputuskan oleh Kerajaan Negeri.
“Kita bebas untuk berkempen, tetapi dalam hal-hal tertentu, ia budi bicara dan hak Kerajaan Negeri, kita harus menghormatinya kerana ini ialah autonomi Kerajaan Negeri Sarawak.
“Sepatutnya perkara ini tidak menjadi isu pihak pembangkang dan sudah tentu kerajaan Negeri Sarawak mempunyai asas tertentu kerana inginkan suasana politik kondusif, sesuai dengan kehendak rakyat di negeri ini”, kata Salleh lagi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan calon Barisan Nasional DUN N.73 Piasau, Datuk Sebastian Ting.
–SF/AAS