
Oleh Diyana Zamri / Foto: Saiful Rahman Sabri / Video: Muhammad Rizal Redzuan
SERIAN, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Anggota RELA di Sarawak diminta mengenepikan perbezaan agama, bahasa, budaya serta pegangan politik bagi membantu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem untuk terus mencapai kemajuan, terutamanya dari segi pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika berucap di Program Pemimpin Bersama RELA bertempat di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua, Serian, petang tadi.
“Kita mahu Tok Nan bawa pembangunan lebih banyak terutamanya di kawasan luar Bandar,” ujar Ahmad Zahid.
Seorang anggota RELA yang ditemui, Singgit Anak Minun, 56, berkata dia berpuas hati dengan kepimpinan Adenan.
“Saya cukup berpuas hati kerana Tok Nan, kita punya CM yang berjiwa rakyat. Banyak bantuan yang diberi kepada kita terutama sekali, tarif elektrik kita dikurangkan, cukai rumah juga dikurangkan dan cukai tanah tidak perlu dibayar lagi,” jelas Singgit.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengingatkan empat calon Barisan Nasional (BN) yang turut hadir, Datuk Seri Michael Manyin (N.19 Tebedu), Datuk Roland Sagah (N.17 Tarat), Martin Ben (N.22 Kedup), dan John Ilus (N.23 Bukit Semuja) supaya meluangkan masa bertemu dengan anggota RELA.
“Saya akan memantau, jika mereka menang, supaya memberikan perkhidmatan yang terbaik. Saya ingatkan empat calon ini. Jangan masa pilihan raya sahaja jumpa RELA. Jangan lupa RELA. RELA mesti dibantu oleh wakil-wakil rakyat ini. Kalau tidak turun, saya tahu nak buat apa,” ujarnya.
Pada majlis yang sama, turut diadakan majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo, Penyerahan Pakaian Operasi Digital (POD) RELA, serta Penyampaian Sumbangan Khidmat Bakti RELA.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Kamariah Mohd Noah.