
Oleh Hj.Mohd Noor bin Samion
MELAKA, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tengkera dan Dewan Undangan Negeri Kawasan Kesidang semalam menganjurkan Tranquerah Fun Ride dan Sukan Rakyat.
Acara diadakan bertujuan mengajak masyarakat menjaga kesihatan secara berterusan selain membantu memupuk perpaduan.
Dalam ucapan semasa merasmikan acara, Ahli Undangan Negeri Kawasan Kesidang, Datuk Wira Latiff Haji Thamby menekankan kepentingan kesihatan dalam kalangan masyarakat sementelah kecenderungan melakukan aktiviti berbasikal untuk rekreasi.
Seramai 280 peserta terdiri daripada pelbagai kaum mengayuh sejauh 24 km dari padang Tranquerah ke Dataran 1 Malaysia, Klebang, manakala sukan rakyat berlangsung dengan pengisian seperti permainan capteh, tiup belon, sepak bola ke dalam gol, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Turut diadakan, pemeriksaan kesihatan percuma.
Juga, cabutan bertuah yang turut diadakan sempena karnival tersebut menarik lebih 800 pengunjung.
Antara agensi yang turut serta dalam program ini, termasuk Jabatan Penerangan Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Jabatan Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Khas, Suruhanjaya Pilihanraya dan Kelab Berbasikal NGO Negeri Melaka.