
Oleh: Wenny Di Tian Soh (Sabah)
KENINGAU, 29 Jun (Malaysiaktif) –? Sikap saling menghormati antara satu sama lain merupakan kunci utama masyarakat di negeri ini dapat mengekalkan keharmonian walaupun hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan agama.
Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Merangkap ADUN N.37 Sook, Datuk Ellron Angin, persefahaman yang berjaya dicapai ini perlu dikekalkan supaya tiada perasaan curiga antara perbezaan kaum dan agama kerana akan menjejaskan serta merosakkan semangat perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama.
Tambahnya, kita membesar dan tua bersama. Kita seharusnya bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini kerana kita boleh duduk bersama serta berbincang tanpa ada rasa perbezaan antara satu sama lain.
Ellron berkata demikian dalam ucapan merasmikan Majlis Silaturrahim dan Berbuka Puasa bersama Anggota Jabatan Penerangan dan Komuniti 1Malaysia Daerah Keningau di sebuah Hotel di sini pada Isnin.
Pegawai Penerangan Daerah Keningau, Hendry Nurdin menjelaskan objektif majlis ini adalah untuk mendekatkan wakil rakyat dengan anggota Jabatan Penerangan dan masyarakat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.
Pada majlis tersebut, Datuk Ellron turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada 10 orang penerima bantuan yang kurang bernasib baik.
Turut hadir Pengerusi-pengerusi dan Ahli-ahli Komuniti 1Malaysia Daerah Keningau dan Sook.
SF