
Oleh Salawati Mat Shariff (Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Bekerja di dalam pendingin hawa atau di bawah terik matahari bukan suatu keputusan yang boleh dibuat atas dasar kemahuan semata-mata.
Rezeki ada dimana-mana, itulah prinsip yang dipegang oleh seorang pembersih cermin luar bangunan yang mahu dikenali sebagai Rosli.
Demi mencari rezeki yang halal, pemuda yang berasal dari Acheh ini telah melakukan kerja berisiko tinggi seperti itu selama empat tahun.
“Memang pada mulanya saya berasa gayat untuk bergantung pada tali ini, tetapi sekarang saya sudah biasa dan berani untuk melakukannya” kata Rosli yang pernah mencuci tingkap bangunan setinggi 46 tingkat di Kuala Lumpur.
Menurutnya, semasa menuruni bangunan, dia perlu mencuci setiap tingkap dengan bersih menggunakan bahan pencuci yang disediakan, sebelum dibilas dengan air.
Tambah Rosli, semuanya dilakukan serentak kerana tali yang digunakan tidak boleh dinaikkan semula.
Selain panas, hujan dan angin kuat adalah cabaran yang terpaksa dilalui Rosli.
Atas usaha dan titik peluhnya, Rosli menerima pendapatan sebanyak RM1200 setiap bulan.
Katanya, pendapatan yang diterima adalah amat bermakna buat dirinya. Malah, Rosli bersyukur kerana berpeluang mencari rezeki di bumi Malaysia ini.