Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Pasar Tani Khas Sempena Syawal – FAMA

By 24 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Mohd Zaid Awang (GOMBAK)

SELAYANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengenalpasti sebanyak 274 lokasi di seluruh negara akan diadakan Pasar Tani Khas sempena Syawal pada tahun ini bermula 1 Julai hingga 3 Julai.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau “Program Jualan Terus Dari Ladang Dan Kilang” yang diadakan di perkarangan FAMA Point, Bandar Baru Selayang pagi ini.

“Tarikh-tarikh tersebut dipilih memandangkan pada hari tersebut biasanya pasar tani diadakan iaitu hari Jumaat, Sabtu dan Ahad”, katanya.

IMG-20160624-WA0007

Datuk Ahmad Ishak cuba membuat kuih putu di program “Jualan Terus Dari Ladang dan Kilang” yang diadakan di FAMA Point, Bandar Baru Selayang

Menurut Ahmad, terdapat pasar tani yang kebetulan beroperasi pada hari Jumaat, malah kebanyakan pasar tani di Lembah Klang dan negeri-negeri yang cuti mingguan pada hari Ahad, memang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad.

“Pasar tani khas Syawal ini memang akan beroperasi hampir dengan Hari Raya dan pengguna boleh mengambil kesempatan untuk mendapatkan bekalan keperluan raya mereka”, ujar beliau.

Datuk Ahmad Ishak mengacau dodol sempena program "Jualan Terus Dari Ladang dan Kilang" di FAMA Point, Bandar Baru Selayang

Datuk Ahmad Ishak mengacau dodol sempena program “Jualan Terus Dari Ladang dan Kilang” di FAMA Point, Bandar Baru Selayang

Tambah beliau, FAMA bersedia membekalkan barang keperluan asas di pasar tani serta memberi jaminan bekalan mencukupi dan ini merupakan peluang pengguna untuk  mendapatkan bekalan keperluan bagi persiapan hari raya.

“Pasar tani khas itu akan menawarkan barangan keperluan asas kepada pengguna seperti ayam, daging, telur, santan dan sebagainya termasuk ketupat serta lemang”, tambah beliau.

 

DK

Tinggalkan komen anda