
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
SUNGAI BESAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Penggunaan kenderaan ‘buggy’ di pusat mengundi SK Seri Utama di sini dilihat cukup mesra membantu orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
Ong Eng Seng 74, dan isterinya Teoh Yu Kim 70 menggambarkan perkhidmatan ‘buggy’ ini amat memudahkan pergerakan mereka untuk menjalankan kewajipan mereka.
“Suami saya yang pernah dibedah oleh sebab penyakit jantung, dia tidak boleh berjalan jauh. Jadi apabila ada ‘buggy’ ini mudah untuk kami bergerak,” katanya.
Sementara itu, Hajah Hamiah Sahlan, 83, turut berasa selesa dengan perkhidmatan ‘buggy’ ini.
“Lutut saya sakit. Nak jalan jauh tak larat. Pelincir kat lutut ni dah kering. Kat rumah pun saya guna kerusi roda,” katanya yang kini menetap di Sungai Limau.
Menurut pemandu ‘buggy’, Asrul Jasman Jamaluddin, 37, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar ini, pihak Suruhanjaya menyediakan perkhidmatan tersebut di dua buah pusat mengundi, iaitu di SK Parit 4 dan di SK Seri Utama.
“Warga emas banyak di dua Pusat Mengundi ini. Penumpang saya rata-ratanya memang warga emas dan OKU. Ada yang lumpuh, tetapi kebanyakannya sakit lutut,” ujarnya lagi.
Khidmat ‘Buggy’ ini boleh membawa tujuh orang penumpang bagi setiap kali perjalanan bermula pukul 8.00 pagi tadi sehingga pukul 5.00 petang ini.