
Oleh Aimi Huwaina & Diyana Zamri / Foto: Nazri Rapaai
KUALA KANGSAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin pada pukul 8.20 pagi.
Mastura yang mengundi di saluran tiga hanya beratur seketika sebelum diarahkan masuk ke dalam bilik mengundi.
Mastura yang berpakaian jubah hitam, selesai menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi kira-kira pukul 8.38 pagi.
Turut kelihatan menemani isteri kepada mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu ialah dua anaknya, Wan Iskandar dan Wan Amar, ibu mertua, Rahmah Abdullah serta isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
PRK Kuala Kangsar ini diadakan berikutan kematian bekas Ahli Parlimennya, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad dalam dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Kerusi Parlimen P.067 ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mastura, calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr. Najihatussalehah Ahmad, calon Parti Amanah Negara (Amanah), Dr. Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.