
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham
KUALA KANGSAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 10 orang pengundi tiba di SMK Clifford di sini seawal pukul 7.30 pagi untuk menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihanraya Kecil P.067 Kuala Kangsar hari ini.
Mereka terdiri daripada warga emas kelihatan bersemangat dan ceria. Seorang warga emas yang ditemui, Poh Ah Beng, 58, berkata dia datang awal kerana hendak menyempurnakan tanggungjawab sebelum sarapan.
Seorang lagi pengundi awal, Vethavalli Periasammy, 60, berkata dengan ini beliau tidak perlu bersesak dan beratur panjang, manakala Hamiah Abdullah, 58, pula ingin menyelesaikan tanggungjawabnya secepat mungkin.
Mereka masuk ke dalam pusat pengundi di SMK Clifford sebaik sahaja pintu dibuka pada pukul 7.45 pagi.
Terdapat juga beberapa pengundi yang dibawa menggunakan kerusi roda dengan bantuan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota polis. Antaranya, Siti Ramlah, 66.
Setelah 90 minit pusat dibuka, lebih daripada 50 orang telah selesai mengundi.
Keadaan di pusat mengundi di SMK Clifford tenang dan proses mengundi berjalan dengan lancar.