
Oleh: Aimi Huwaina / Foto: Muhairul Azman Supian (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Balu mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid memandang pencalonannya sebagai penyambung perjuangan suaminya.
“Saya bersama-sama arwah pada setiap masa ataupun kalau saya tidak turun ke padang, saya akan berada di Kuala Kangsar, menunggu arwah di rumah dan kami sering berbincang tentang banyak perkara. Saya tahu isi hatinya dan terlalu banyak kerja yang belum selesai. Saya harap saya akan diberi kepercayaan oleh orang Kuale (Kuala Kangsar) untuk meneruskan perjuangan arwah,” ujarnya.
Mastura yang mempunyai Ijazah Undang-Undang dari University of Kent, United Kingdom berkata demikian dalam sidang media khas yang diadakan di rumahnya di Bukit Chandan, petang semalam.

Datin Mastura ditemani anak-anaknya ketika ditemui di rumahnya bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, ADUN Manong, Mohamad Kamil Shafie dan ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.
“Arwah adalah seorang yang sangat suka kepada air dan sungai. Arwah selalu berkata antara perkara yang dia nak buat secara besar-besaran adalah di persisiran Sungai Perak. Dia nak bangunkan ke satu tahap di mana ia mampu menyaingi peringkat antarabangsa,” kata Mastura lagi.
Disoal tentang desas-desus yang menyatakan beliau dipaksa, Mastura menafikan perkara itu.
“Itu tidak benar, saya tidak pernah dipaksa. Saya buat kerana kerelaan hati saya dan kerana Allah Taala,” tegasnya.
Mastura berkata pada awalnya, dia tidak begitu mengambil peduli dengan penamaannya sebagai calon BN dalam PRK Kuala Kangsar ini.
“Saya sedang meratapi pemergian suami saya. Saya langsung tidak membaca surat khabar atau menonton televisyen. Kadang-kadang, ada rakan-rakan yang menelefon dan menghantar SMS (teks pesanan ringkas) mengatatakan saya akan menjadi calon dan ada satu masa itu, Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyebut nama saya. Saya tidak terlalu memikirkannya ketika itu kerana ada banyak perkara yang perlu dibuat. Saya perlu meneruskan kehidupan saya,” jelasnya.
Tambah Mastura, panggilan telefon daripada Zambry merubah fikirannya.
“Saya terkejut, dan merasa terharu juga. Saya ambil masa untuk berfikir, berbincang dengan anak-anak dan selepas itu, memikirkan kerja-kerja suami saya merupakan perkara paling penting dalam hidup saya. Saya yakin, mereka (BN) memilih saya adalah kerana mereka merasakan kerja yang telah dilakukan oleh arwah perlu diteruskan oleh seseorang yang mampu memahami dan memastikannya boleh diselesaikan,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap dirinya, Mastura menyerahkan semuanya kepada penduduk Kuala Kangsar.
“Mereka lebih pandai menilai saya rasa. Saya yakin dengan pengundi Kuala Kangsar,” ujarnya.
Turut hadir, MB Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADUN Manong, Mohamad Kamil Shafie.
-DZ