
Oleh : Dila Khamde / Foto: Nor Fakruddin
SUNGAI BESAR, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Dia merupakan anak tempatan. Dia juga Ahli Dewan Undangan Negeri di Sungai Panjang di bawah Parlimen Sungai Besar. Jadi dia ini mempunyai kelebihan sebagai calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar,
Demikian kata penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Ismail Sualman apabila diajukan soalan berkenaan kelebihan Budiman Mohd Zohdi.
“Sebagai anak muda berumur 44 tahun yang berasal dari Sungai Limau, Budiman memang amat mengenali rakyat di situ.
“Selain diterima, disenangi ramai, Budiman juga mempunyai sikap peramah dan kasual.
Tambahnya, kajian saya menunjukkan 68 peratus penduduk di situ telah menerima dengan senang hati apa-apa yang telah dilakukan selama Budiman menjadi wakil rakyat di Sungai Panjang.
Namun, menurut Prof Ismail, Budiman perlu bekerja-keras di kawasan DUN Sekinchan kerana di situ dimiliki DAP.
“Cabaran utama Budiman adalah untuk memenangi hati lebih 3000 pengundi Cina dan pengundi India berjumlah 474 orang di kawasan Sekinchan.
“Jika isu ini dapat diatasi, saya melihat Budiman berpeluang untuk menang kerana dia ialah anak tempatan berbanding lawannya ADUN Meru. Walaupun calon Amanah merupakan anak tempatan, beliau merupakan seorang ustaz yang lebih banyak bergelumang dalam bidang dakwah tetapi bukan politik,” ujar Ismail.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kampung Sungai Haji Dorani, Haji Ahmad Jamiran, 75 menyifatkan Budiman sebagai seorang yang sangat peramah dan mudah mesra.
“Budiman bukan sahaja banyak menolong orang yang bermasalah di kawasan ini malah turun ke akar umbi bagi melawat masyarakat yang ditimpa musibah seperti ribut, banjir dan sebagainya.
Selain itu, Budiman juga sentiasa cuba untuk mendekatkan dirinya dengan para petani.
“Terbaharu, tentang masalah pemotongan pemutuan yang sebenar. Di Barat Laut Selangor, biasanya potongan 17 peratus dikenakan tetapi apabila diseragamkan di seluruh negara, maka kami di sini turut dipotong sebanyak 20 peratus.
“Apabila kami mengadu, Budiman terus berjumpa Menteri Pertanian untuk mempertimbangkan permohonan kami. Akhirnya, subsidi RM50 dahulu langsung tak dapat, akhirnya berjaya diperoleh..
“Saya sangat terhutang budi kepadanya yang begitu prihatin kepada petani-petani kerana di kawasan ini golongan petani la yang terbanyak sama ada petani sawah padi atau kelapa,” kata Ahmad yang juga merupakan orang tempatan.
Bagi Pengerusi Persatuan Pelancongan Daerah Sabak Bernam, Subani Marzuki, Budiman mempunyai pakej kemahiran komunikasi yang sangat baik untuk mendekati pengundi.
Tambahnya, pembangunan secara langsung masih belum nampak hasilnya tetapi dari segi perancangan gerak kerja boleh dilihat.
“Peluangnya untuk menang PRK ini 50/50, bukan sebab karakter sebagai calon tetapi kerana pepecahan undi,” ujar Subani yang juga menguruskan Homestay di Sungai Besar.
-SF