Skip to main content
EkonomiHomeViral

HSR: Najib,Lee Beri Penghargaan Kepada Abdul Wahid Omar

By 20 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Foto: Straits Times (Singapura)

 

PUTRAJAYA, 19 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong hari ini memberi penghargaan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Wahid Omar di atas kegigihan dan dedikasi beliau untuk merealisasikan memorandum persefahaman (MoU) mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Najib berkata kerajaan Malaysia dan Singapura bekerja keras sejak beberapa tahun lepas, setelah pengumuman projek HSR dibuat semasa Pemukiman Tahunan Keempat Pemimpin Singapura-Malaysia pada Februari 2013.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid, semasa menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di atas dedikasi beliau dalam menghasilkan MoU ini.

“Sementara itu, kami mempunyai tugas baharu untuk beliau tetapi bukanlah sebagai pemandu Uber,”kata Najib secara berseloroh sambil merujuk kepada laporan bahawa Abdul Wahid membawa penumpang bagi perkhidmatan Uber selepas berakhirnya tempoh beliau sebagai Senator.

Najib menyatakan demikian pada sidang akhbar bersama Lee selepas mereka menyaksikan majlis menandatangani MoU itu bagi mengesahkan komitmen Malaysia-Singapura dalam melaksanakan projek mercu tanda HSR.

Lee juga berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada menteri-menteri dari kedua-dua negara yang telah merundingkan perjanjian ini, terutamanya Abdul Wahid.”

Abdul Wahid dilantik sebagai anggota Dewan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2013, dan menamatkan perkhidmatannya pada 4 Jun lepas.

Beliau berehat seketika daripada bekerja dan menjadi pemandu Uber bagi mendekati orang ramai, sebelum membuat sebarang keputusan untuk menyertai semula dunia korporat.

Projek HSR, yang disasarkan sebagai operasi komersil pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Landasan sepanjang 350 kilometer (km) itu dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan di antara kedua-dua negara kepada hanya 90 minit dengan kelajuan lebih 300km sejam, berbanding lima jam di jalan raya di antara Kuala Lumpur dan Singapura.

 

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda