Skip to main content
HomeViral

Pelajar Malaysia cedera di Nice lepasi tahap kritikal

By 20 Julai 2016Tiada komen1 minit bacaan

SINGAPURA 20 Julai – Pelajar Singapore University of Technology and Design (SUTD) dari Malaysia yang cedera dalam serangan di Nice baru-baru ini dilapor tidak menujukkan tanda-tanda pendarahan dalaman atau kerosakan neurologi serta melepasi tahap kritikal.

Memetik SUTD, portal berita Channel NewsAsia melaporkan, para doktor sedang mengkaji hasil ujian perubatan Esmond Chuah, pelajar tahun tiga universiti itu.

Chuah mengalami keretakan pada bahagian belakang dalam serangan itu.

Laporan tersebut menyebut, pelajar itu akan dibenarkan keluar selepas pihak hospital membenarkannya untuk melakukan perjalanan.

Seramai 12 pelajar SUTD berada di bandar raya percutian Perancis itu bagi menyertai program musim panas.

SUTD telah menghantar pegawai kanan ke Nice bagi membantu Chuah dan 11 pelajar lain semalam, sebagai tambahan kepada pasukan kecemasan insurans, katanya.

Pada 15 Julai, bapa Chuah, Chuah Tze Leng memuat naik dalam laman Facebooknya bahawa anaknya dapat menghubungi pada petang berkenaan.

“Dia OK tetapi berada di hospital akibat retak pada belakangnya. Dia dilanggar oleh tepi trak berwarna putih yang membawa senjata api dan bom tangan serta bernasib baik (bom) tidak meletup.

“Imbasan CT hospital turut menunjukkan trauma pada paru-paru dan perutnya,” kata Tze Leng.

Lebih daripada 80 orang dilapor terbunuh serta beberapa lagi cedera apabila sebuah trak merempuh kumpulan orang ramai semasa perayaan Hari Bastille di Nice, selatan Perancis pada 14 Julai.

 

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda