
Oleh: Hanafi Sariman & Norhayani Hashim (Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Biarpun tewas kepada pemain Cina, Chen Long dalam acara akhir Badminton Olimpik Rio 2016 malam tadi, pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tetap menjadi kebanggaan ramai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut mengucapkan tahniah kepada Chong Wei melalui lawan sosialnya.
“Permainan yang baik Lee Chong Wei! Tak kira apa jua warna medal, anda adalah hero kami rakyat Malaysia! Tahniah!” katanya menerusi akaun Facebook dan Twitter rasminya.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyeru orang ramai supaya terus memberikan sokongan kepada Chong Wei yang meraih pingat perak ketiga dalam pada temasya sukan berprestij itu.
“Tiada sesiapa yang tahu apa perasaan Datuk Lee Chong Wei ketika ini. Tiada sesiapa. Hantar sokongan dan kecintaan serta ucapan terima kasih kepadanya,” kata Khairy melalui akaun Twitternya.
Sementara itu, peminat badminton, Kassim Muhammad, 45, berkata, walaupun sedikit kecewa diakhir keputusan apabila emas tidak memihak kepada Malaysia, namun dia tetap berbangga dengan dan berterima kasih kepada Chong Wei kerana menyumbangkan pingat Perak kepada negara.
Seorang lagi peminat badminton yang ditemui Malaysiaaktif, Azmi Harun, 36, percaya Chong Wei telah melakukan yang terbaik ketika merebut pingat emas pertama buat negara, malam tadi.
“Kita semua seharusnya memuji semangat juang Datuk Lee Chong Wei. Saya turut sebak apabila melihat dia menitiskan air mata di atas podium. Memang kita sedikit kecewa, tetapi esok masih ada buat atlet-atlet Malaysia,” ujar Azmi.
Pada perlawanan itu, Chong Wei tewas kepada Chen Long, 18-21, 18-21.
– AH