Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Keindahan Seni Khat Dihargai

By 29 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerana minat yang mendalam terhadap seni khat, Mohd. Norussalam Bain, 28, sanggup bertolak seawal 4.00 pagi pada Sabtu dari Shah Alam untuk menyertai Pertandingan Khat Sempena Sambutan Jubli Perak Masjid Al-Azim, di sini.

Ditemani isteri yang sarat mengandung dan hanya menunggu hari untuk melahirkan cahaya mata yang ketiga, Norussalam turut membawa bersama kelengkapan bersalin sebagai persediaan kecemasan.

Norussalam bersama isteri dan dua orang anaknya.

“Isteri memang sentiasa menyokong minat saya dalam seni khat sebab itu saya bawanya sekali bersama dua anak saya dan di waktu yang sama dapat bersiar-siar di Melaka,” ujarnya.

Norussalam yang juga pemilik galeri Salam Kaligrafi di Seksyen 9, Shah Alam, mempunyai banyak pengalaman menyertai pelbagai pertandingan sebelum ini. Dia juga pernah menjadi johan dengan hasil khat yang mengambil masa persediaan hanya tiga hari disebabkan komitmen kerja.

Kata Norussalam, pertandingan kali ini sangat menarik kerana terdiri daripada hakim-hakim yang berpengalaman luas dalam bidang khat manakala peserta-peserta juga kebanyakannya berpengalaman dan merupakan ‘orang lama’ dalam seni ini.

Suasana di dalam Masjid Al-Azim ketika pertandingan berlangsung.

Menurut seorang daripada tiga orang hakim pertandingan, Ustaz Muhammad Firdaus Mahadi, pertandingan kali ini berjaya mengumpulkan sebanyak 51 penyertaan dari seluruh negara dan disertai oleh ramai peserta yang berpengalaman.

Salah seorang peserta pertandingan, Ustaz Fadil Sulaiman sedang khusyuk menyiapkan seni khatnya.

“Kami telah memberi tempoh sebulan untuk para peserta membuat persiapan dan untuk pertandingan ini kami menetapkan agar mereka membuat khat daripada ayat-ayat dari surah An Nisa ayat 186,” ujarnya.
Tambah Muhammad Firdaus yang merupakan Pensyarah Seni Khat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM, peserta diminta untuk menggunakan dua jenis bentuk khat iaitu seni thuluth dan nasakh. Manakala, para hakim diperuntukkan tempoh selama empat jam untuk menghakimi hasil kerja peserta.

Ustaz Muhammad Firdaus

“Sebab utama kami mengambil masa yang lama untuk menghakimi kerana ianya melibatkan ayat al-Quran, dengan itu kami perlu teliti dan membaca surah itu dahulu. Jika ada huruf yang tertinggal, penyertaannya akan terbatal. Semua peserta akan dinilai mengikut kaedah penulisan, kreativiti dan kekemasan kerja,” jelas Muhammad Firdaus yang baru sahaja dinobatkan menjadi johan kebangsaan Seni Khat kategori Terbuka Yayasan Restu di Shah Alam lima bulan lepas.

Dua lagi hakim pertandingan ialah Ustaz Abdul Baki Abu Bakar, seorang johan pertandingan Seni Khat Antarabangsa Souq Ukaz di Arab Saudi baru-baru ini dan merupakan salah seorang daripada 30 penulis khat seluruh dunia yang terpilih untuk menghasilkan mushaf Dubai pada Ramadan yang lalu serta Ustaz Ahmad Zafuan Embong yang mempunyai Ijazah Sanad dari Institusi Khat terulung di Ircica Istanbul. Ahmad Zafuan juga merupakan orang kuat di sebalik tabir penganjuran Terengganu International Islamic Art Festival (TIIAF). 


Pertandingan khat yang tamat pada lewat petang Sabtu itu melihatkan peserta dari Selangor, Mohamad Hafizzudin Mohamad Rasiq dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 manakala tempat kedua disandang oleh peserta dari Kelantan, Nik Abdul Tahman Zaki Nik Abdul Kadir yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd Zulhelmi Mohd Sobri yang berasal dari Kedah dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000. Kesemua mereka turut membawa pulang sijil penyertaan. 

Tinggalkan komen anda