Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Cabaran Ustaz Dorong Ceburi Perniagaan Khat

By 29 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

 MELAKA, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Ketika memasuki kelas penulisan khat pada Disember 2013 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya, Nur Faizah Abdullah,37 dan peserta lain pelik apabila mereka dibekalkan pen untuk mengikuti pembelajaran sedangkan ustaz yang mengajar pula menggunakan qalam.

Ustaz menjelaskan bahawa qalam tersebut dibeli di Turki dengan harga yang sangat mahal, dan kerana kesukaran untuk mendapatkan qalam itu di Malaysia, ustaz mencabar Faizah untuk memulakan perniagaan tersebut disini.

94e46758-59ce-484e-8a33-b540554d54ee

“Saya memulakan inisiatif pertama dengan mencari resam di tepi-tepi jalan, namun resam yang ada sangat kecil dan tidak sesuai untuk membuat qalam, maka saya cuba dapatkannya di tepi hutan pula,”ujar Faizah yang hanya bermodalkan pisau raut dan parang sebagai modal perniagaan.

Hari pertama mencari resam berseorangan dalam keadaan tidak berpengalaman, beliau menjumpai resam besar yang tumbuh berdekatan dengan pokok kelapa sawit, namun nasib tidak menyebelahi beliau kerana ketika sedang asyik menarik batang resam, beliau terserempak dengan ular tedung.

1442784e-c130-48f2-96a3-6a2a5af930eb

Pada mulanya, beliau merasa serik untuk mencari resam lagi tetapi mengenangkan nasib anak watan yang ingin belajar khat dan perlunya ramai pelapis dalam bidang ini, beliau nekad untuk pergi mencari lagi.

“Resam apabila diraut akan menjadi qalam handam, itu merupakan produk pertama saya, kemudian saya gunakan buluh pula, tetapi saya inovasikan menggunakan qalam buluh padu kerana teksturnya lebih halus. Kesedapan menulis adalah dengan kehalusan qalam,”katanya.

Seterusnya dia menghasilkan qalam ijok, iaitu mata qalam yang diperbuat daripada lidi kabung kerana untuk mata yang halus, penulis memerlukan qalam jenis ini, dan seterusnya dia membuat qalam raja kayu pula.

483c9641-d0fb-4851-ad5f-bf0868e6bf6d

Menurut Faizah, Raja kayu ini biasa digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai penyakit, dan dahulu biasanya digunakan sebagai pemegang keris untuk melahirkan aura keberanian.

“Raja kayu sesuai dijadikan qalam kerana ianya keras, tapi bila dibakar, ia akan menghasilkan damar yang licin, jadi saya terfikir mungkin ia akan ada kesedapan dalam menulis,”ujarnya.

Produk yang seterusnya pula ialah qalam tanduk yang diperbuat daripada tanduk kerbau atau lembu, namun menurutnya para pelajar biasanya akan membeli qalam resam, ijok dan buluh sebagai asas menulis kerana ianya biasanya berukuran kurang dari 10 milimeter.

912e8d34-a23c-45d9-a170-a6ecc685327e

Menurutnya, di awal berniaga dia menghasilkan qalam menggunakan tangan sepenuhnya. Untuk tahun pertama, sekurang-kurangnya empat kotak plaster tangan disediakan dirumah untuk melindungi jari dan bahagian badan yang terluka terkena pisau dan gergaji.

Namun selepas permintaan meningkat, beliau mula membeli mesin gergaji supaya proses memotong menjadi cepat, dan mesin kikir untuk membentuk qalam. Dengan bantuan mesin-mesin tersebut, beliau mampu menghasilkan 1000 qalam sehari.

Harga setiap qalam dijual mengikut jenis, iaitu serendah RM5 hingga RM35 sebatang. Manakala jika dijual secara set yang mengandungi kira-kira 15 qalam berlainan, bekas dakwat dan benang sutera, Faizah hanya menjualnya dengan harga RM250 termasuk bayaran pos.

4b8128a9-2af6-46a7-895a-edf8cb28245e

“Jauh lebih murah jika dibandingkan dengan pembelian dari Turki kerana harga satu set seperti yang saya jual bernilai kira-kira RM1000 itu belum lagi dikira dengan nilai tukaran wang asing yang sentiasa berubah atau masalah barangan tidak sampai ke tangan pembeli,” katanya yang ditemui di Masjid Al-Azim, disini.

Kepada soalan Malaysiaaktif sama ada harga yang ditawarkan berbaloi dengan usaha kerasnya, katanya jika difikirkan mengenai keuntungan, bagaimana hendak melahirkan pelapis dalam bidang seni khat?

“Kita semua ada impian, jika kita penuhi impian orang lain terlebih dahulu, pasti Allah akan penuhi impian kita pula nanti,” jawabnya tulus.

Faizah turut berimpian untuk membuka sebuah galeri bagi mempamerkan hasil karya penulis tempatan dan juga peralatan krafnya, selain menempatkan bengkel kraf di bahagian belakang galeri untuk memudahkan pengunjung mempelajari cara-cara membuat qalam.

“Saya agak sedikit hampa kerana kesukaran untuk mendapatkan dana bagi memajukan perniagaan ini kerana sebenarnya ia mempunyai potensi yang besar dan mampu membantu meningkatkan ekonomi negara,”ujar Faizah.

Setakat hari ini pelanggan yang membeli peralatan khat daripada beliau datang dari dalam dan luar negara, seperti India, Kuwait, Jordan, Singapura, Australia dan Brunei.

Menurutnya lagi, kini Masjid Besi yang dikenali melahirkan ramai penulis-penulis khat terkenal, juga melahirkan pembuat peralatan khat tunggal di Malaysia.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda