
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Hafiz Itam
SHAH ALAM, 18 Ogos (Malaysiaktif) – “Dahulu buat logo, tak pernah ada yang bertanya. Tiada pun masuk surat khabar tanya siapa pereka. Tiada pun bayaran khas yang diterima kecuali sagu hati dalam RM100.
“Tetapi rasa bangga apabila lima logo yang kami hantar dipilih satu, kemudian ada pula dicetak besar-besaran setiap kali Hari Kebangsaan bahkan apabila formasi logo besar dibuat di tengah padang besar Dataran Merdeka buat kami rasa seronok.”
Demikian kata Bapa Logo Kebangsaan, Prof. Madya Hashim Hassan, 79 yang ditemui ketika Majlis Pelancaran Pameran Logo Kebangsaan di Galeri Shah Alam, Selasa lalu.

Pereka Logo Kebangsaan 1997, Muhammad Azid Abdul Latiff bertemu dengan Bapa Logo Kebangsaan, Prof. Madya Hashim Hassan
Hashim merupakan bekas penuntut Canterbury College of Art, England pada 1965 hingga 1969 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Reka Grafik dalam jurusan Tipografi, Tanda dan Simbol, seterusnya memiliki Ijazah Sarjana Universiti Ohio, Amerika Syarikat dalam Pendidikan Seni pada 1974.
Beliau telah berkhidmat di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama 33 tahun bermula sejak 1970 sebelum bersara pada 2003, dan kemudian di Universiti Selangor (UNISEL) pada 2006 hingga 2013.
Hashim yang telah mencipta sembilan logo sejak 1980 hingga 19987 dan 1991 itu berkata tugasnya bermula apabila dia yang pada ketika itu bertugas sebagai pensyarah di UiTM dahulunya ITM dikehendaki mencipta logo Hari Kebangsaan oleh Jabatan Penerangan.
“Masa itu pihak Penerangan minta ITM hantar rekaan. Cabarannya, apabila kami perlu menghasilkan lima rekaan yang mengikut tema yang diberikan saban tahun.
“Bayangkan tema yang diberi misalnya, pada 1984, Amanah Asas Kejayaan. Ditambah dengan tiada komputer ketika itu. kami perlu memikirkan idea untuk menggunakan warna yang sesuai mengikut bendera Malaysia, kedua memikirkan pula bentuk yang sesuai, ketiga perlu juga memikirkan kesesuaian untuk membuat formasi oleh para pelajar di Dataran Merdeka.
“Susah sebab kami perlu buat lima rekaan. Tema Amanah itu sendiri kena fikirkan idea bentuk apa yang sesuai. Jadi kami buat bulatan yang tiada akhiran berdasarkan kepada rupa bulat. Warna logo pula putih. Kalau nak difikirkan tak dapat digambarkan cabarannya,” katanya yang juga menerima Anugerah Mangku Negara (AMN) sekitar 80-an.
Hashim juga berkata pereka sepertinya mula diiktiraf setelah sahabatnya, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pameran dan Perolehan, Prof Raja Datuk Zahabuddin Raja Yaacob mula memberikan gelaran Bapa Logo Kebangsaan kepadanya dalam naskhah Dewan Budaya dan Dewan Sastera.
“Prof Raja yang masukkan gelaran tersebut dalam Dewan Budaya dan Dewan Sastera guna nama Bapa Logo Hari Kebangsaan. Tu yang bermula semua pihak tanya berkenaan pereka.
Bagi kami pereka, tak perlu bayaran pun kami seronok kerana hasil rekaan kami dipilih. Saya datang hari ni pun rasa bangga sebab ada juga orang nak iktiraf pereka. Ada juga sumbangan kami kepada negara,” jelasnya yang turut dikenali sebagai ikon “Burung Batik” yang hasil karyanya sedang dipamerkan di Pameran Graphist di Galeri Shah Alam sehingga 30 Ogos.
Sementara itu, bagi pereka Logo Hari Kebangsaan 1997, Akhlak Mulia Masyarakat Jaya, Muhammad Azid Abdul Latiff, 41 berkata Prof Raja dan Prof Madya Hashim merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan bidang rekaan logo kepadanya.
“Mereka berdua merupakan pensyarah saya di UiTM. Mereka yang mengajar saya reka bentuk logo. Bentuk seperti bulat dan segi tiga yang dapat membentuk logo. Merekalah sumber inspirasi saya.
“Prof Madya Hashim, teknik mengajarnya cukup mudah untuk difahami. Macam kita bagi budak lukis atas kertas, tampal. Dengan reputasinya mencipta banyak logo menyebabkan saya mula menghantar dua rekaan pada semester akhir.
“Logo tu saya menang ketika masih berumur 22 tahun, ketika itu masih belajar tahun akhir. Saya bangga kerana ketika itu logo saya menjadi pilihan Perdana Menteri.
“Bayangkan perasaan seorang pelajar apabila menerima RM5000. Dapat juga saya beli kelengkapan belajar. Selepas menang, terus beri inspirasi untuk saya mereka lebih banyak logo dan sehingga kini saya berjaya menang hampir 50 pertandingan logo termasuklah Logo SUKMA 2008 di Terengganu. Saya menang rekaan logo dan maskot,” katanya yang merupakan Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Seni Visual dan Seni Reka.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari berkata logo #sehatisejiwa masih dikekalkan pada kali ini kerana masih rasional.
“Tema #sehatisejiwa dikekalkan kerana nak kekalkan semangat bersatu-padu. Kita harus rasa bertuah kerana kita dapat kecapi harmoni serta hidup lebih selesa oleh sebab perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
“Pameran ini dibuat supaya legasi orang muda dapat menceburi bidang reka bentuk ini dan dapat keluarkan hasil ciptaan mereka tersendiri. Kita takut satu hari nanti kepupusan idea bagaimana untuk hasilkan logo. Kita dapat lihat bahawa pengunjung juga dapat ambil peluang sama-sama dan faham maksud di sebalik setiap logo,” ujarnya lagi yang ditemui semalam.
Pelbagai logo Hari Kebangsaan sejak 1976 sehingga kini dipamerkan sehingga 30 Ogos ini bagi tujuan mendekatkan orang ramai kepada maksud tersirat di sebalik setiap logo yang dihasilkan oleh setiap pereka tempatan selain sebagai simbolik cinta kepada negara.