Skip to main content
Berita TempatanSabah

TH Komuniti Mudahkan Pendeposit Luar Bandar

By 18 Ogos 2016Ogos 19th, 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh Zuraidah Ahmad & Ahmad Marif Ag.Damit (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Ogos (Malaysiaktif) – TH Komuniti bakal memberi manfaat besar khususnya pendeposit di luar bandar dan pedalaman bagi mendapatkan perkhidmatan serta produk ditawarkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Johan Abdullah berkata inisiatif itu akan membantu penduduk yang mempunyai kekangan masa dan perbelanjaan, seperti warga emas, golongan kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) yang tinggal jauh dari pejabat TH Cawangan.

Jelasnya, perkhidmatan percuma itu disokong dengan pangkalan data melalui satelit, VSAT bagi membolehkan pengurusan secara dalam talian.

“Perkhidmatan ini juga meliputi lima bahagian utama di negeri ini iaitu Pantai Barat, Pedalaman, Kudat, Sandakan dan Tawau dengan 25 daerah secara keseluruhannya.

“Setakat ini, TH mempunyai empat unit kenderaan yang ditempatkan masing-masing sebuah di Sabah dan Sarawak serta dua buah di seluruh Semenanjung,” ujarnya.

Menurut Johan, perkhidmatan yang ditawarkan termasuk transaksi simpanan (simpanan tunai dan pendaftaran ahli baru), pengeluaran (pengeluaran tunai, pindahan simpanan, pindahan telegrafik dan permohonan pusaka), pendaftaran kelab TaHa dan TaHa@U, urusan haji (pendaftaran haji dan pembatalan haji), gantian Buku Akaun Simpanan (BAS), kemaskini maklumat, pertukaran akaun kanak-kanak ke dewasa, permohonan pin mailer e-THiJARI dan permohonan penyata akaun.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelancaran TH Komuniti di Kompleks TH Sembulan, pada malam Selasa, di sini.

Majlis pelancaran kaunter bergerak itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar  Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Mohd Suhaili Said yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah TH Sabah, Datin Nurlaila Said.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda