Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

MCA Selayang Kecewa Dewan Bakal Diambil Alih

By 18 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang & Noriah Athan

RAWANG, 18 Ogos (Malaysiaaktif)  – MCA Bahagian Selayang melahirkan perasaan kesal dan kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang ingin mengambil alih Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk diuruskan.

Pengerusi MCA Bahagian Selayang, Datuk Goh Ah Ling berkata, dewan tersebut dibina oleh ahli-ahli MCA kampung tersebut pada 1981 diatas tanah hasil usaha Datuk Lee Kim Sai yang memegang jawatan Wakil Rakyat Rawang ketika itu.

“Ia dibina hasil wang sumbangan ahli MCA dan tindakan mahu merampasnya adalah sangat tidak wajar”, ujar beliau.

Beliau menambah bahawa MCA Bahagian Selayang bersedia menurunkan logo parti MCA di dewan tersebut dan membenarkan sesiapa sahaja menggunakan dewan tersebut untuk kemudahan bersama selama ini tanpa menerima sebarang aduan daripada orang ramai.

“Dewan tersebut ditukar status kepada dewan orang ramai pada tahun 2012 disebabkan kegagalan pihak kami membayar premium tanah bernilai RM19,000 namun kami tidak bersetuju dewan tersebut akan dikenakan sewaan oleh MPS dan mahu hak penjagaan dewan tersebut diberikan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampong tersebut bagi menghargai jasa mereka”, tambah beliau.

Beliau mengakui kerajaan negeri mempunyai hak dan kuasa terhadap tanah di Selangor namun sekiranya ia diambil secara keras ia sangat zalim dan tidak mahu semua perkara dipolitikkan oleh kerajaan negeri termasuk kemudahan dewan untuk orang ramai.

Sementara itu menurut EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, “Dewan tersebut  diambil berdasarkan prosedur mengikut Akta Kanun Tanah Negara iaitu sebarang struktur yang dibina di atas tanah kerajaan adalah milik kerajaan walaupun pembinaannya semasa Barisan Nasional mentadbir Selangor”.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah mengarahkan MPS dan Pejabat Tanah Gombak bertindak demikian setelah rundingan yang dibuat sebelum ini tidak mendapat kerjasama.

“Tindakan ini diambil kerana terdapat aduan daripada penduduk yang tidak dapat menggunakan kemudahan dewan itu sepenuhnya ?untuk mengadakan sebarang aktiviti,” katanya.

-DK

Tinggalkan komen anda