Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Ahmad Zahid Bimbang Ada Dalang Bocor Maklumat ESSCom

By 29 September 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 Oleh: Diyana Zamri / Foto: Syarul Azis

PUTRAJAYA, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kebimbangan ada pihak yang mendedahkan maklumat kaedah operasi dilaksanakan pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sehingga kes penculikan kerap berlaku di kawasan terbabit.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, tindakan sedemikian akan membuka ruang dan waktu untuk pihak musuh bertindak.

“Saya tidak menuduh tetapi tidak mustahil ia berlaku. Malah, saya amat khuatir ada maklumat yang diperoleh mereka mengenai kaedah operasi yang dilakukan oleh ESSCom. Kita lihat pihak musuh sentiasa mencari ruang, waktu dan kelemahan operasi,” tegasnya.

Tambahnya, pihak tersebut mungkin mengetahui tentang aset-aset yang digunakan ESSCom dan agensi penguat kuasa lain serta yang belum diperolehi lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden rompakan dan penculikan seorang juragan bot nelayan tempatan oleh sekumpulan enam lelaki bersenjata dipercayai militan Abu Sayyaf di Perairan Semporna berhampiran Pulau Gaya, malam kelmarin.

Mangsa, Nasir Sarapin, 39, yang berasal dari Lahad Datu, dilarikan selepas kapal pukat jerut dikendalikan bersama 26 orang lagi anak kapalnya digeledah kumpulan penjenayah terbabit kira-kira pukul 9.30 malam.

Setengah jam kemudian, kumpulan penjenayah yang sama dipercayai merompak sebuah lagi kapal nelayan yang dinaiki 19 anak kapal di perairan Tungku, Lahad Datu, kira-kira lima batu nautika dari lokasi penculikan dan rompakan pertama.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata selain agensi penguat kuasa, rakyat setempat juga perlu memainkan peranan untuk membendung kejadian culik atau jenayah di kawasan perairan tersebut.

“Saya sudah maklumkan tentang adanya kumpulan culik untuk tebusan yang sedang aktif dan kita juga tahu kumpulan Abu Sayyaf sedang mengumpul dana besar-besaran. Saya khuatir dana ini digunakan untuk menyokong kumpulan pengganas dikenali sebagai Khatibah Nusantara.

“Khatibah Nusantara merupakan kumpulan pengganas yang bertindak menyatukan pelbagai kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara.

“Jangan ambil mudah soal keselamatan. Mereka ambil peluang atas kealpaan yang kita sendiri ciptakan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian penutup Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini semalam.

Tinggalkan komen anda