Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Mahfodz Mohamed Ketua Kluster Dakwah MPI Baharu

By 29 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Diyana Zamri / Foto: Syarul Azis

PUTRAJAYA, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed sebagai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) berkuat kuasa semalam.

Ahmad Zahid mengumumkan perkara tersebut ketika berucap merasmikan Multaqa Ekonomi MPI bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurutnya, pelantikan Mahfodz itu bagi menggantikan penyandang, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din yang dilantik mengetuai kluster dakwah pada Januari lepas yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 16 September lalu di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat.

“Kluster dakwah kehilangan seorang tokoh. Pada hemat saya, ia harus digantikan dengan seorang lagi tokoh yang boleh membawa kluster ini ke arah penyatuan ummah dengan keupayaan mengetepikan kobilah, fahaman dan perbezaan politik demi kemaslahatan ummah secara keseluruhan,” ujar Ahmad Zahid.

Tambahnya, pelantikan Mahfodz dibuat atas kepercayaan MPI terhadap kebolehan Mahfodz yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Johor menerajui multaqa dan sektor lain ke arah mewujudkan penyatuan ummah dan mengenepikan soal perbezaan idelogi politik.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid menerima resolusi multaqa yang mengandungi lima saranan dalam usaha mengintegrasikan sistem ekonomi iaitu membangunkan institusi waqaf korporat nasional, menjadikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai institusi korporat amanah, menubuhkan profesion audit halal global, menjadikan infaq sebagai sistem kewangan alternatif dan mewujudkan gagasan ‘Sunnah Nusantara’.

MPI yang ditubuhkan hasil inisiatif Timbalan Perdana Menteri sendiri, dianggotai tokoh daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan. Berperanan sebagai kumpulan pemikir, MPI membantu kerajaan dalam memberi cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara mengikut landasan syarak.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, dan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) selaku Ketua Kluster Ekonomi MPI, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Tinggalkan komen anda