
Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka (featured: media sosial)
MELAKA, 21 Sept (Malaysiaaktif) – Fenomena air pasang besar di sepanjang persisir pantai negeri Melaka Ahad lalu dengan ketinggian ombak yang mencatat tahap maksimum 1.69 meter telah meninbulkan kegusaran pada penduduk sekitar.
Surirumah Norhayati Kadir, 42 dari Kampung Tehel di sini berkata air pasang memang biasa berlaku di kawasan kediaman beliau, namun pada kejadian Isnin lepas keadaan amat membimbangkan kerana air naik sehingga ke jalan raya jauh daripada paras biasa.
“Ahli keluarga menasihatkan sekeluarga agar berpindah sementara ke kampung kerana khuatir dengan keselamatan kami, malahan kami pun sudah mengemaskan dokumen-dokumen penting sebagai langkah berjaga-jaga,”katanya.
Menurutnya, air juga naik pagi semalam sekitar pukul 10.00 dan surut semula kira-kira tiga jam kemudian dan kejadian ini membuatkan beliau bimbang kerana tembok di belakang rumahnya pernah runtuh di pukul ombak kuat pada tahun lepas.
Tinjauan Malaysiaaktif sekitar empat petang tadi di kawasan Crystal Bay, Umbai menunjukkan air laut telah pun kembali surut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) Melaka, Mohamad Radzi Abdul Talib mengesahkan fenomena berkenaan mula dikesan sejak 17 September lalu dengan ketinggian ombak pada 1.56m diikuti 18 September (1.69m), 19 September (1.66m), 20 September (1.61m) dan hari ini (1.45m).
Justeru, katanya, penduduk di negeri itu tidak perlu khuatir berikutan keadaan pantai masih terkawal walaupun hujan melanda kawasan berkenaan beberapa hari lalu.
“Fenomena ini berlaku kemungkinan kerana kesan perubahan kedudukan bulan berada dekat dengan bumi selain angin menolak ombak kurang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Radzi berkata, pihaknya juga sentiasa menjalankan kerja pengepaman air keluar dari beberapa pintu baraj di Sungai Duyong, Sungai Melaka, Sungai Kesang dan Sungai Umbai bagi mengelakkan banjir.
“Setakat mana kesannya, saya tidak dapat pastikan, namun meminta orang ramai sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku akibat fenomena berkenaan,” katanya yang menjangka fenomena sama akan berlaku pada akhir Oktober ini.