
Laporan dan Foto oleh Mohd Zaid Awang / Arkib
HULU KELANG, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Program Kempen Kibar Jalur Gemilang (KJG) sempena Bulan Kemerdekaan tahun ini memberi sedikit kelainan, iaitu dengan menziarahi dua insan yang banyak menyumbangkan jasa kepada negara dan masyakat dalam dua ruangan berbeza.
Mereka ialah tokoh perfileman negara, Tan Sri Jins Shamsudin dan penerima pertama Pingat Pahlawan Gagah Berani (PGB) pada 31 Ogos 1958, Mejar Jeneral (B) Datuk Abdul Rahman Khamis kerana semangat keperwiraan semasa zaman darurat.
Bagi Abdul Rahman yang kini berusia 84 tahun, beliau sangat terharu dengan kunjungan konvoi KJG. Sempena itu, beliau berpesan agar setiap rakyat menumpahkan taat setia kepada negara dan tidak mengikut nafsu dalam membuat sebarang keputusan.
“Kita mesti taat kepada negara dan jangan mengikut nafsu, khasnya orang muda; fikir dahulu dalam membuat sebarang keputusan kerana pemimpin negara telah banyak memajukan negara, terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi berbanding zaman dahulu”, ujar beliau sewaktu menceritakan zaman berkhidmat dalam tentera.
Sementara itu anak Jins Samsudin, Hang Nadim melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap kunjungan tersebut walaupun pelakon veteran dan pengarah yang terkenal dengan filem Bukit Kepong itu telah lama menyepi akibat penyakit Alzheimer sejak lima tahun dahulu.
“Memori ayah telah hilang menyebabkan beliau tidak ingat apa-apa dan makan minumnya terpaksa dijaga”, ujar beliau.
Jins, dalam filem 1981 arahan dan lakonan beliau itu memberi penghargaan kepada wira-wira yang gugur mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong, Johor semasa serangan pengganas Komunis pada 23 Februari 1950.
Program KJG ini menjurus kepada usaha menggelorakan dan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat melalui kibaran Jalur Gemilang.
Inisiatif yang diadakan di Kampung Pasir Hulu Kelang pada Selasa lepas itu, antara lain, dengan mengadakan ziarah tokoh yang pernah banyak berjasa kepada negara.
Sehubungan itu, Pengarah Penerangan Selangor Norbaya Jamaludin yang turut hadir berharap agar masyarakat terus menghargai keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang dikecapi dengan mengenang jasa tokoh-tokoh yang banyak menyumbang kepada negara.
-DK/AAS